BAB I
Menjunjung Titah
Raja.
Pada 12 Rabiul awal tahun 1221H, Tun Muhamad @ Tun Seri Lanang,
Bendahara Paduka raja telah diperintahkan oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah,
Yang Dipertuan Di Hilir supaya mengarang sebuah buku mengenai kisah raja-raja
Melayu dan istiadatnya supaya dapat diingat dan diambil faedah daripadanya.
Kitab ini dinamai Sulalatus salatin yang bermaksud “Pertuturan segala
raja-raja”. Namun ia lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Penaklukan
Iskandar Zulkarnain.
Raja Iskandar Zulkarnain, berkerajaan di Makaduniah, Rom telah berusaha
meluaskan tanah jajahannya ke arah timur, arah matahari terbit. Baginda berjaya
sampai ke Benua Hindi dan mengalahkan Raja Kida Hindi.
Perkahwinan Puteri
Syahrul Bariyah,
Iskandar Zulkarnain telah mengahwini Puteri Syahrul Bariyah.
Perkahwinannya diakadkan oleh Nabi Khidir dengan mas kahwin sebanyak 300 ribu
dinar emas. Setelah kahwin Iskandar Zulkarnain telah meneruskan pengembaraan
untuk melihat matahari terbit. Dalam perjalanan pulang baginda singgah untuk
mengambil isterinya pulang ke Rom tetapi diminta tinggalkan oleh Raja Kida
Hindi. Jadi Puteri Syahrul Bariyah ditinggalkan di negeri Kida Hindi.
Zuriat Iskandar
Zulkarnain.
Puteri Syahrul Bariyah melahirkan seorang anak bernama Aristun Syah,
hasil perkahwinannya dengan Iskandar Zulkarnain. Aristun Syah menggantikan
datuknya Raja Kida Hindi memerintah kerajaan selama 355 tahun.
Perjalanan hendak
menakluk negeri Cina.
Dari keturunan Iskandar Zulkarnain itu juga lahirlah Raja
Suran. Beliau menakluki semua negara kecuali negara Cina, jadi baginda mahu
menakluk pula negara Cina. Dalam perjalanan itu, baginda sempat menawan negara
Gangga Negara. Raja Gangga Syah Johan dikalahkan dan saudara perempuan raja
yang bernama Puteri Dara Segangga dikahwini. Raja Suran juga mengalahkan negeri
Langgiu, di hulu Sungai Johor. Rajanya bernama Raja Chulan berjaya
di bunuh. Anak Raja Chulan iaitu Puteri Onang Kiu telah
dikahwininya. Baginda meneruskan perjalanan hinggalah sampai ke
Temasik.
Usaha Raja Suran untuk menyerang Cina telah diketahui oleh Raja Cina.
Baginda menghantar satu rombongan untuk menipu raja Suran. Negara Cina
dinyatakan sangat jauh dari Temasik. Untuk sampai ke negara Cina seorang yang
berumur 12 tahun akan menjadi tua, hingga gugurlah giginya. Besi sebesar lengan
akan haus menjadi seperti sepucuk jarum sahaja. Pepohon yang dimakan kiranya
ditanam akan berbuah. Mendengar tipu muslihat itu Raja Suran membatalkan
hasratnya untuk menyerang negara Cina.
Hendak mengetahui
isi laut.
Raja Suran masuk ke dalam laut dengan menggunakan peti kaca yang
berpesawat. Baginda tiba di negeri Dika. Kaumnya berbangsa Bu Sum. Setengah
Islam dan setengah kafir. Kaum itu kehairanan melihat Raja Suran.
Zuriat Raja Suran.
Berjumpa Raja Aktabul Ardh dan menikahi Puteri Mahtabul Bahri. Hasil
perkahwinan mendapat 3 orang anak lelaki iaitu Nila Pahlawan,
Krisyna Pandita dan Nila Utama. Raja Suran telah menyuruh raja jin Asmaghiah
Peri mendapatkan 3 mahkota dari perbendaharaan Nabi Sulaiman untuk diberikan tanda
kepada anak-anaknya itu sebagai keturunan Raja Islandar Zulkarnain. Raja Suran
telah keluar dari dalam laut dengan menunggang kuda semberani jantan bernama
Farasul Bahri. Baginda mendarat di Pantai Baniras. Selepas itu Raja Suran
kembali ke Benua Keling dan membina negara bernama Bijaya Negara.
BAB II
Kisah bermula di
Bukit Si Guntang.
Tiga orang anak Raja Suran telah naik ke bumi dan turun di Bukit Si
Guntang dengan menaiki seekor lembu jantan berwarna putih. Kedatangan mereka
ditemui oleh Wan Empuk dan Wan Malini. Mereka telah melihat puncak bukit
bercahaya terang pada malam itu. Tanahnya berubah menjadi warna keemasan. Pohon
padi berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Ketiga-tiga
mereka dijemput oleh Demang Lebar Daun ke istana Palembang. Setibanya di
Palembang, lembu kenaikan mereka memuntahkan buih dan terdapat seorang lelaki
di dalamnya yang dinamai Batala.
Asal raja
Minangkabau dan Tanjung Pura.
Raja Minangkabau iaitu Patih Suatang telah datang ke Palembang memohon
seorang anak raja Suran itu untuk dirajakan di Minangkabau. Untuk itu Nila
Pahlawan atau Sang Si Perba dihantar ke sana. Penduduk Tanjung Pura pula datang
dan Krisyna Pandita pula dihantar. Nila Utama pula dirajakan di Palembang dan
bergelar Seri Teri Buana.
Seri Teri Buana mahu beristeri. Malangnya semua anak raja yang
ditidurinya mendapat penyakit kedal. Sehingga habislah anak-anak raja yang baik
dalam negeri Palembang itu. STB telah mendapat tahu akan kecantikan Radin Ratna
Cendera Puri anakanda Demang Lebar daun dan ingin mengahwininya.
Bersumpah Berteguh
Janji.
Sebelum berkahwin Demang Lebar Daun telah mohon diadakan perjanjian
dahulu. Dia mahu anaknya itu tidak dikeluarkan dari istana kalau dia mendapat
penyakit kedal setelah ditiduri Seri Teri Buana. Biarlah dia menjadi tukang
masak di dapur atau tukang sapu di istana. Demang Lebar Daun juga mahu supaya
raja jangan berlaku zalim dengan memalukan rakyat yang bersalah.
Seri Teri Buana pula mahu rakyat jangan
derhaka kepada raja. Jikalau rakyat derhaka rumahnya akan dibalikkan, kaki
tiang ke langit dan kiranya raja berlaku zalim kerajaannya akan dimusnahkan
oleh Allah. Bagaimanapun setelah ditiduri Seri Teri Buana, Radin Ratna Cendera
Puri tidak kedal. Jadi perkahwinan antara merekapun dilansungkan.
Selepas perkahwinan itu berlaku satu
peristiwa pelik berlaku, telah hanyut di sungai buih-buih yang besar dan satu
dari antaranya mengandungi seorang budak perempuan. Dia telah dijadikan anak
angkat STB dan dinamakan Puteri Tanjung Buih.
Membunuh Ular
Sakti Mona.
Penduduk di Minangkabau mahu menguji
kesaktian Sang Si Perba dengan meminta baginda membunuh ular Sakti Mona. SSP
telah meminjamkan curiknya yang bernama curik Si Mandang Kini kepada seorang
hulubalang bernama Permasku Mambang. Beliau berjaya membunuh ular tersebut.
Namun curik itu sendiri sumbing 190. Bagindapun kekallah berkerajaan di
Minangkabau.
Tajitram Syah iaitu salah seorang dari keturunan Raja Suran yang telah
keluar istana untuk membina empayarnya sendiri telah dilanggar ribut di tengah
laut. Angkatannya musnah dan dia sendiri terdampar di Belambang Majut
(Bangkahulu). Tanah Andalas, sebelah Laut Selbu. Dia dijumpai oleh Demang
Kebayunan dan dikahwinkan dengan anaknya yang bernama Raden Sendari. Mendapat 4
orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Ratna Dewi, Seri Dewi, Maniaka dan Nila
Karna. Seri Dewi dikahwini putera dari Cina dan Ratna Dewi oleh putera ratu
Majapahit. Berita kehadiran Tajitram Syah terdengar ke India dan para menteri
dalam kerajaan Canda Kani telah datang menjemputnya balik ke Benua Keling itu.
Mencari tempat
baru untuk berbuat negeri.
Seri Teri Buana telah keluar dari Palembang untuk membuka negeri baru.
Selepas melewati Gunung Lingga, angkatannya telah kehabisan air minuman. Untuk
mendapatkan air tawar, STB telah menyuruh mencampakkan gulungan rotan ke laut
dan dia sendiri mencelupkan kakinya ke dalam air laut di tengah gelungan rotan
itu. Air laut telah menjadi tawar dan tempat itu dinamakan Selat Air
Tawar. Sesampai STB di Tanjung Bintan, baginda telah dijemput oleh
Wan Seri Beni ke istana dan Raden Ratna Cendara Puri dibawa ke istana bondanya
iaitu Puteri Iskandar Syah.
Jadi Anak angkat
raja perempuan Bintan.
Wan Seri Beni memerintah Bintan dengan
dibantu oleh Menteri Bupala dan Aria Bupala. Wan Seri Beni sangat berkenan
memandang STB dan RRCP. Kepada STB diserahkan kerajaannya dan STB dijadikan
anak angkatnya. Seri Teri Buana menjadi raja selama 2 tahun di
Bintan itu.
STB meneruskan semula perjalananya. Dia bertolak ke Bengkilau dan
berburu hingga ke Tanjung Sengkuang. Di sini anjng pemburuan baginda telah
terjun ke laut dihambat oleh pelanduk putih. STB telah memerintahkan tempat itu
ditebas untuk dibuka negeri. Bagaimanapun dari situ dia terpadang pula pantai
Temasik dan ingin pula ke sana.
Temasik dijumpai.
Sesampai di Teluk Belanga, angkatan
baginda dilanda oleh ribut. Semua harta telah dibuang ke laut. Untuk meredakan
ribut STB telah meletakkan mahkota baginda ke permukaan air laut. Lalu ributpun
teduh. Di atas bukit di pulau Temasik STB telah terpandangkan seekur singa.
Bagaimanapun singa itu ghaib apabila terpandangkan orang ramai. STB mengubah
nama pulau itu dari Temasik ke Singapura dan mahu kerajaannya dibuka di situ.
Wan Seri Beni menabalkan STB di situ. Pemerintahan Bintan di serahkan kepada
anak Menteri Bupala yang bergelar Tun Telanai.
BAB III
Puteri Nila
Pancadi ke Singapura.
Seri Teri Buana mempunyai 2 orang anak
iaitu Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Muda. STB telah menghantar menteri Aria
Bupala ke benua keling meminang Puteri Nila Pancadi. Raja Jambuga Rama Mudaliar
telah menerima pinangan itu, bahkan menghantar puterinya untuk dikahwini oleh
Raja Kecil Besar ke Singapura. Raja Kecil Muda pula dikahwinkan dengan cucu
saudara Demang Lebar Daun iaitu Raden Lasmi Puri.
Raja dan Bendahara
adik beradik.
Selepas Seri Teri Buana mati ia ditanam
di Bukit Singapura, Raja Kecil Besar dijadikan Raja bergelar Paduka Seri
Pikrama Wira. Raja Kecil Muda dijadikan Bendahara bergelar Tun Perpatih Permuka
Berjajar. Cucu Demang Lebar Daun dijadikan perdana menteri bergelar Tun
Perpatih Pemuka Jegalar. Penghulu Bendahari bergelar Tun Jana Buga
Dendang. Hulubalang Besar pula ialah Tun Tempurung. RKB telah memperolehi
seorang putera bergelar Raja Muda.
Peristiwa Tatal
Dan Menarah Kepala Budak.
Betara Majapahit telah menghantar
bingkasan sekeping tatal tujuh depa panjangnya dan digulung seperti subang
kepada PSPW. PSPW menyangka dirinya dianggap perempuan oleh Betara Majapahit.
Sebagai balasannya diminta seorang tukang kayu bernama Cedun Pawang Antan
disuruhnya menarah rambut budak dan beliung itu dihantarnya ke
Majapahit. Betara Majapahit pula menyangka kepalanya mahu ditarah
oleh PSPW. Betara Majapahit sangat marah dan menyerang Singapura. Orang
Majapahit berjaya dikalahkan.
Bila PSPW meninggal dunia, anaknya Raja Muda diangkat menjadi raja
bergelar Rakna Wikrama. Tun Perpatih Tulus pula menggantikan ayahandanya Tun
Perpatih Permuka Berjajar sebagai bendahara.
Badang beroleh
gagah.
Badang adalah seorang hamba kepada
seorang perempuan yang tinggal di Sayung. Ikan yang terperangkap di lukah yang
ditahannya telah dimakan oleh hantu. Hantu itu ditangkap dan mahu dibunuh.
Untuk mengelakkan dirinya dibunuh dia berjanji akan menunaikan segala hajat
Badang. Badang mohon kepada hantu supaya dia menjadi gagah. Untuk itu hantu
meminta Badang memakan muntahnya. Selepas makan muntah hantu itu Badang telah
menjadi sangat gagah.
Pohon kayu sebesar dua tiga pemeluk dapat dicabutnya. Hutan yang luas
dapat dibersihkan dengan sekejap sahaja. Dengan kekuatan Badang, tuannya
menjadi kaya raya dan diberi gelar Orang Kaya Sayung. Badang telah dibebaskan.
Dia dijadikan Sandim Sani oleh Seri Rakna Wikrama di
Singapura. Kekuatan Badang dapat dilihat dari beberapa peristiwa.
Kayu pengayuh perahunya adalah kayu kempas sebesar sepemeluk. Selepas tujuh kali
berkayuh kayu itu patah. Semasa memanjat pohon kuras, dia terjatuh. Kepalanya
terhempas ke batu dan menyebabkan batu menjadi pecah. Badang dapat menyorong
pilang yang panjang lima belas dengan seorang diri. Sedangkan orang lain
seramai empat lima ratus tidak mampu melakukannya.
Kegagahan Badang
diuji.
Raja di Benua Keling telah menghantar
pahlawan yang tergagah untuk menandingi kegagahan Badang. Pahlawan itu bernama
Nadi Bija Biakra. Taruhannya ialah barangan tujuh kapal. Dalam pertandingan itu
mereka disuruh bergusti. Badang berjaya menewaskan Nadi Bija Biakra itu. Mereka
juga bertanding mengangkat batu. NBB hanya terdaya mengangkat separas lutut.
Oleh Badang batu itu diangkat, dilambung-lambung dan dilontarkannya hingga ke
kuala.
Raja Perlak pula telah menghantar pahlawannya yang bernama Benderang
untuk mengalahkan Badang. Sebelum pertandingan diadakan Badang terlebih dahulu
meminta untuk menguji Benderang dalam majlis makan malam. Badang telah menindih
peha Benderang dan Benderang tidak mampu mengangkatnya. Badang pula berjaya
mengangkat pehanya bila disesak oleh Benderang.
Keesukan harinya Tun Perpatih Pandak selaku ketua rombongan Perlak telah
meminta supaya pertandingan itu tidak diteruskan. Kerana bimbang ianya akan
menyebabkan hubungan Singapura dan Perlak menjadi rosak. Sebenarnya dia takut
Benderang dikalahkan. Bagaimanapun mereka telah disuruh merentangkan
rantai yang sangat besar di belakang Siram supaya kapal tidak dapat lalu.
Tidak lama kemudian Badang telah mati dan ditanamkan di Buru. Batu Nisannya
dikirimkan oleh Raja Benua Keling. Bila Paduka Seri Wikrama
meninggal dunia, dia digantikan oleh anaknya yang bernama Damia Raja dan
bergelar Paduka Seri Maharaja. Dia berkahwin dengan Damia Puteri anak Tun
Perpatih Permuka Berjajar. Dari perkahwinan itu lahirlah pula Raja Iskandar
Syah.
Mula kedatangan
Islam ke alam Melayu.
Merah Silu dan Merah Caga tinggal di
Gunung Sengkuang. Merah Silu kerjanya menahan lukah tetapi asyik terkena cacing
gelang sahaja. Kerana terlalu marah cacing itu direbus. Nasibnya baik, cacing
gelang telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Bila
Merah Caga mendengar adiknya dikatakan makan cacing gelang, dia mahu membunuh
saudaranya itu. Merah Silu melarikan dirinya ke Rimba Jurun.
Satu hari Merah Silu pergi berburu. Anjingnya Si Pasai telah menemui
seekur semut besar. Semut besar itu telah ditangkap oleh Merah Silu dan
dimakannya. Tempat itu dibersihkan dan dinamakan Semudra yang beerti semut
besar. Negeri Semudra itu telah terkenal hingga ke Mekah. Syarif Mekah telah
memerintahkan seorang nakhoda bernama Sheikh Ismail ke Semudra. Dia disuruh
singgah di negeri Mu’tabari untuk mengambil seorang fakir. Sultan Muhamad iaitu
Raja Mu’tabari telah turun dari takhta dan mengikut rombongan itu ke negeri
Semudra. Sultan Muhammad adalah keturunan dari Abu Bakar al-Siddik r.a.
Sebelum sampai ke Semudra, kapal Sheikh Ismail telah singgah di Fansuri,
Lamiri, Haru dan Perlak. Kesemua penduduk di situ telah memeluk agama Islam
tetapi tidak ada yang pandai membaca Qur’an. Merah Silu juga telah memeluk
Islam di tangan fakir Sultan Muhammad itu. Malamnya Merah Silu telah bermimpi
berjumpa Rasulullah. Rasulullah telah meludah ke dalam mulut Merah Silu. Badan
Merah Silu menjadi harum dan dia dapat membaca al-Qur’an. Sheikh Ismail telah
menabalkan Merah Silu dan namanya ditukar menjadi Sultan Malikul Salleh.
Sultan Malikul Salleh telah berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak raja
Perlak. Dia mendapat dua orang anak yang diberi nama Sultan Malikul Tahir dan
Sultan Malikul Mansur.Sultan Malikul Salleh telah keluar untuk mencari tempat
baru untuk dibuat kerajaan bagi anaknya. Anjing pemburuannya telah menyalak di
satu tanah tinggi. Tempat itu dipandang cantik oleh Sultan Malikul Salleh.
Ianya ditebas dan diberi nama Pasai sempena nama anjing pemburuan baginda.
Sultan Malikul Tahir dirajakan di Pasai itu dengan menterinya bernama Sidi Ali
Ghiathu’d Din sebagai mangkubumi. Sultan Malikul Mansur pula
dirajakan di Samudra dengan menterinya Sidi Ali Yaumid’d Din.
Sebelum meninggal dunia, Sultan Malikul Saleh sempat berwasiat kepada
kedua anak dan menteri-menterinya supaya jangan tamak harta orang, jangan
inginkan isteri hamba kamu dan hendaklah hidup bermuafakat.
Raja Pasai Ditipu
Dan Ditawan.
Raja Syahrun Nuwi dengkikan kebesaran
kerajaan Pasai. Dia memerintahkan pahlawannya yang bernama Awi Dicu untuk pergi
dan menangkap rajanya iaitu Sultan Malikul Tahir. Dengan menggunakan tipu
helah, Sultan Malikul Tahir telah berjaya ditangkap dan dibawa ke Siam. Dia
dijadikan gembala ayam di istana.
Sidi Ali Ghiathu’d Din telah menyamar menjadi saudagar Arab dan telah
pergi ke negeri Syahrun Nuwi itu. Dia telah memberikan berbagai hadiah kepada
raja Syahrun Nuwi. Antaranya ialah sepohon pohon kayu emas dan buahnya dari
permata. Papan catur emas, buahnya permata merah dan hijau. Sepasang itik emas
yang boleh berenangan di dalam air. Kerana termakan dengan rasuah berkenaan
Sultan Malikul Tahirpun dibebaskan.
Peristiwa Kerana
Seorang Dayang.
Sultan Malikul Mansur ingin pergi
melawat abangnya di Pasai. Keinginannya itu ditegah oleh menteri Sidi Asma’
Yaudi’d Din. Bagaimanapun baginda pergi juga. Semasa di Pasai dia telah membawa
pulang seorang dayang Sultan Malikul Tahir. Perbuatannya itu menimbulkan
kemarahan Sultan Malikul Tahir.
Sultan Malikul Tahir telah menjemput saudaranya itu untuk majlis
berkhatan. Di sana menteri Sidi Asma’ Yaumiddin dibunuh dan di sula
di Pasai. Kepalanya dibuang ke laut. Kepala menteri itu dijumpai
oleh Sultan Malikul Mansur di laut Padang Maya semasa baginda hendak dibuang ke
Manjung. SMM memohon badan menterinya dikembalikan dan mayatnya ditanam di
Padang Maya.
Selepas 3 tahun, SM Tahir telah menyesal di atas perbuatannya itu dan
menjemput saudaranya SM Mansur kembali. Dalam perjalanan pulang, SM Mansur
singgah di Padang Maya dan kemudiannya meninggal dunia di situ.
BAB IV
Singapura
Dilanggar Todak.
Tuan Jana Khatib seorang yang mahir ilmu
khayal lillah telah datang ke Singapura. Dia telah menilik sebatang pohon
pinang sehingga terbelah dua. Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan Paduka
Seri Maharaja. Katanya Tuan Jana Khatib nak menunjukkan kebolehan kepada
isterinya. TJK telah dihukum bunuh. Sebaik darahnya menitik ke tanah, tubuh TJK
telah ghaib.Tubuhnya itu dikatakan muncul di Langkawi. Selepas peristiwa ini,
singapura telah dilanggar oleh ikan-ikan todak. Ramai rakyat Singapura telah
terbunuh.
Paduka Seri Maharaja telah menyuruh rakyatnya berkubukan betis, ini
menjadikan semakin ramai rakyatnya terbunuh. Seorang budak telah
mencadangkan supaya berkubu batang pisang. Kecerdikan budak ini menimbulkan
kerisauan di hati pembesar. Mereka mencadangkan budak itu dibunuh.
Raja yang meninggal dunia digantikan anaknya iaitu Raja
Iskandar Syah. RIS mengahwini anak Tun Perpatih Tulus dan mendapat seorang anak
bernama Raja Ahmad ataupun nama timangannya Raja Besar Muda. RBM dikahwinkan
dengan Tuan Puteri Kamarul Ajaib, anak Raja Sulaiman Syah, raja Kota Mahligai.
Anak bendahari raja Iskandar Syah telah
dihukum canggai (sula) di pasar kerana difitnah berbuat jahat dengan orang
lain. Sang Rajuna Tapa merasa sangat malu. Dia mengirimkan surat kepada Betara
Majapahit meminta Majapahit menyerang Singapura dan dia bersedia untuk belot
dari dalam. Rakyat Majapahit telah menyerang Singapura. Singapura dikepung
selama sebulan oleh Demang mangku Negara. Bekalan makanan dikatakan telah
habis. Bila rakyat Singapura telah keletihan, Sang Rajuna Tapa telah membuka
pintu kota dan Singapura telah dikalahkan.
Raja Iskandar
Berlepas Ke Darat.
Raja Iskandar Syah melarikan diri ke
tanah besar. Sang Rajuna Tapa dan isteri menjadi batu kerana derhaka kepada
raja. Iskandar Syah cuba membuka sebuah negeri baru di Hulu Muar, malangnya ia
diserbu oleh biawak. Jadi tempat itu dinamakan Biawak Busuk. Baginda
pindah ke Sungai Ujong membina kota, keesukannya kota itu menjadi buruk. Lalu
dinamakan Kota Burok. Pindah pula ke Sening Ujong. Dari sini pindah lagi ke
Bertam.
Membuka Negeri Melaka.
Di Bertam inilah berlaku peristiwa
anjing pemburuan lari terjun ke sungai dikejar oleh pelanduk putih. Semasa
peristiwa berlaku, raja sedang berehat di bawah pohon Melaka. Tempat itu dibuka
dan dinamakan Melaka. Raja Iskandar Syah memerintah Singapura selama 32 tahun.
Selepas 3 tahun memerintah Melaka, beliaupun mangkat. Raja Besar Muda pula
menggantikannya memerintah Melaka. Bagindalah raja yang pertama melantik 4
orang menteri untuk berkhidmat di balai, 40 orang bentara dan anak-anak pembesar
sebagai biduanda istana..
Di zaman Raja Kecil Besar, baginda telah bermimpi berjumpa Rasulullah.
Rasulullah telah mengajarkannya kalimah tayyibah dan menukarkan
namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Rasulullah
juga memberitahu pada waktu asar esukknya akan tiba sebuah kapal dari Jeddah.
Penumpangnya akan turun solat di pantai. Selepas bangun dari tidur RKB
mendapati tubuhnya berbau harum dan dia asyik mengulang sebut akan kalimah
sehingga disangka oleh para dayang yang baginda telah dirasuk oleh Syaitan.
Kedatangan Islam
ke Melaka.
Raja telah memberitahu Bendahara yang ia
bermimpi bertemu Rasulullah. Sebagai buktinya, kalamnya kelihatan telah
dikhatankan orang dan akan datang sebuah kapal pada waktu Asar nanti. Pada
petang itu datanglah sebuah kapal dari Jeddah, Syed Abdul Aziz makhdum kapal
itu telah turun bersembahyang di pantai. SAA telah dibawa masuk ke istana dan
semua orangpun telah memeluk agama Islam. Mereka semuanya berguru pada SAA itu.
Raja mengubah namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Bendahara bergelar
Seri Wak Raja. Perdana Menteri bergelar Seri Amar Diraja. Penghulu
bendahari pula bergelar Seri Nara Diraja.
Baginda membuat beberpa pantang larang termasuk melarang rakyat
menggunakan kain warna kuning melainkan untuk dibuat kain, baju dan destar. Rakyat
juga tidak boleh berbuat rumah tiang gantung, Perahu tidak boleh bertingkap dan
berpenghadapan. Tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris. Tidak boleh
bergelang emas di kaki. Tidak boleh berkeroncong emas kepala perak. Barangan
emas tidak boleh dipakai kecuali dianugerahkan oleh raja. Jika hendak masuk ke
istana perlu memakai kain berpancung, berkeris di hadapan dan bersebai. Jika
keris di belakang akan dirampas. Payung putih khusus untuk raja. Payung kuning
pula untuk putera raja.
Susunan Tertib
Adat Istiadat Raja.
Upacara mengadap di balairung seri.
· Bendahara,
Penghulu Bendahari, Temenggung, menteri, orang besar-besar dan sida-sida duduk
di seri balai.
· Anak-anak raja
duduk di kelek-kelekan balai kiri dan kanan.
· Sida-sida
yang muda-muda duduk di selang-selang antara bentara.
· Hulubalang
muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang.
· Kepala bentara di
kiri daripada anak cucu menteri yang patut jadi Bendahara, Penghulu Bendahari
dan Temenggung.
· Kepala
bentara di kanan anak cucu hulubalang yang patut jadi laksamana dan Seri Bija
Diraja.
Gelaran :
Sang Setia : bakal menjadi Seri Bija
Diraja.
Sang Guna : bakal menjadi Laksamana.
Tun Pikrama : bakal menjadi Bendahara.
Acara Menjunjung Duli :
· Yang pertama
kepala bentara yang empat lima orang. Diikuti oleh sida-sida yang duduk di seri
balai.
· Nakhoda Cempa
pilihan duduk di seri balai.
· Anak tuan-tuan
duduk di selasar balai.
· Perkakas raja
seperti ketur, kendi, kipas di selang-selang duduk raja.
· Puan dan pedang
dikelek-kelekan kanan dan kiri.
· Pedang dipikul
oleh laksamana atau Seri Bija Diraja.
Protokol Menyambut Utusan Dari Pasai Dan
Haru. Bagi Utusan-Utusan Dari Negeri Lain, Adat Sambutan Akan Dikurangkan.
-Ceper dan kerikal dibawa hamba raja
dari dalam. Disambut oleh kepala bentara di kanan. Diletakkan had bendahara.
· - Ceper dan tetampan diberikan pada
orang yang membawa surat.
· -Surat dijemput dengan selengkap alat kerajaan
seperti gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dua berapit melainkan
mendeli.
· -Menteri mengepalakan gajah, bentara
di buntut gajah, sida-sida membawa surat dengan penghulu biduanda kecil.
· - Gajah dikepilkan di hujung balai.
· -Surat disambut oleh hulubalang asal
(kepala bentara yang di kiri).
· - Kepala bentara yang di kanan
menyampaikan titah raja kepada utusan.
Adat Menjemput Tamu :
· Jika Perserian
dijemput oleh Orang besar-besar.
· Jika Persangan
dijemput oleh orang kecil.
· Jika Pertuanan
dijemput oleh orang sedang.
Penggunaan Payung ;
· Payung
kuning untuk anak-anak raja dan orang besar-besar
· Payung ungu,
merah, hijau untuk sida dan bentara hulubalang.
· Payung biru dan
hitam untuk orang bergelar.
Adat Persalinan.
· Bakal bendahara 5
ceper : baju, kain, destar, sebai dan ikat pinggang.
· Anak raja dan
para menteri 4 ceper : tiada ikat pinggang.
· Bentara sida-sida
hulubalang 3 ceper: kain, baju dan destar.
· Ada juga yang
tiada berceper.
Istiadat / Peraturan Apabila
Raja Berangkat Di Hari Raya.
· Penghulu
Bendahari di kepala usungan kanan.
· Laksamana di
sebelah kiri.
· Di belakang
menteri keduanya.
· Rantai dekat kaki
raja dipegang oleh Seri Bija Diraja.
· Bentara dan
hulubalang berjalan di hadapan raja.
· Alat kerajaan dibawa di hadapan raja. Tombak
kerajaan di kanan dan kiri. Bentara memegang pedang. Dihadapan sekali pembawa
lembing.
· Dibawa juga
alatan bunyi-bunyian seperti gong, gendang dan nafiri.
· Bendahara,
kadi, pakeh, orang besar-besar dan menteri yang tua-tua berjalan di belakang
raja.
Peraturan Ketika Raja Bergajah.
· Temenggung di
kepala gajah.
· Laksamana atau
Seri Bija Diraja di buntut.
· Bentara memikul
pedang kerajaan.
Acara Bernobat.
· Orang besar-besar
dari kanan gendang.
· Orang kecil-kecil
dari kiri gendang.
· Orang yang kena sirih nobat: Bendahara, anak
raja-raja, Penghulu Bendahari, Temenggung, Menteri keempat, kadi dan pakeh,
Laksamana, Seri Bija Diraja, Sida yang tua-tua dan sesiapa yang dikehendaki
oleh raja.
Peraturan Apabila Bekerja / Pekerjaan
Raja.
· Penghulu
bendahari menguruskan segalanya sambil dibantu oleh syahbandar.
· Temenggung
mengatur orang di balai.
· Orang biasa makan
empat orang sehidangan.
· Bendahara makan
sehidangan dengan anak raja.
Peraturan Berkunjung Ke Masjid Di Malam
27 Ramadhan.
· Temenggung
mengepalakan gajah.Alat kebesaran kerajaan di bawah ke masjid pada waktu siang.
· Raja berangkat
pada waktu malam untuk sembahyang terawih
· Pakaian raja ke
masjid bertelengkolong berbaju sarung.
Protokol Sambutan Hari Raya.
· Semua pembesar
masuk berkumpul di istana.
· Penghulu
Bendahari membawa masuk usungan raja.
· Gendang dipalu
dan nafiri dimainkan.
· Raja berangkat ke
masjid naik usungan.
Peraturan dan protokol sangat penting
dalam kehidupan di istana terutama dalam majlis penghadapan di Balairung Seri.
Dalam acara nobat dan menjunjung duli. Semasa menyambut kedatangan utusan dari
negara luar dan semasa raja mahu berangkat kemana-mana. Sama ada ketika raja
mahu ke masjid di hari Jumaat, di malam bulan Ramadhan untuk berterawih di
masjid dan juga di hari raya. Semua peraturan ini adalah untuk
menjaga keselamatan raja dan mengagungkan raja berkenaan.
Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah itu, Melaka telah berkembang
dengan luasnya. Wilayah di sebelah timur hingga ke Terengganu dan di sebelah
barat hingga ke Beruas Ujung Karang. Raja terkenal sebagai keturunan Iskandar
Zulkarnain, Raja Nusyirwan Adil dan Nabi Sulaiman a.s.. Pedagang Arab
menggelarkan Melaka sebagai Malakat yang beerti tempat perhimpunan segala
dagang.
Membuang Diri
Kerana Berkecil Hati.
Mani Purindam adalah anak seorang raja
di negeri Pahili di Benua Keling. Dia telah berhijrah ke Melaka kerana berkecil
atas sikap adiknya yang tidak mahu mendengar pandangannya dalam membahagikan
harta pusaka bapa mereka. Di Melaka, Mani Purindam dilantik menjadi menteri.
Dia berkahwin dengan Ratna Sandari. Hasilnya lahirlah Tun Ali dan Tun Ratna
Wati. Tun Ratna Wati ini dikahwini oleh Sultan dan lahirlah Raja Kassim.
Sultan Muhammad juga mengahwini anak raja Rekan dan mendapat seorang
anak lelaki bernama Raja Ibrahim. Sultan Muhammad lebih mengasihi Raja Ibrahim
disebabkan sikap isterinya itu dan dia bercadang untuk merajakan Raja Ibrahim.
Sebaliknya rakyat lebih mengasihi Raja Kassim.
Bila Bendahara Seri Wak Raja meninggal dunia, dia digantikan oleh Seri
Amar Diraja. Seri Amar Diraja telah menjadikan Tun Ali sebagai menantunya. Tun
Ali juga dilantik menjadi Seri Nara Diraja. Sultan Muhamad Syah juga
telah meninggal dunia selepas 67 tahun memerintah kerajaan Melaka.
Istana Di Bawah
Pengaruh Raja Rekan.
Raja Ibrahim ditabalkan sebagai Raja
Melaka bergelar Sultan Abu Syahid. Pada ketika itu dia masih kanak-kanak. Jadi
Raja Rekanlah menjadi orang yang berkuasa di istana Melaka. Raja Kassim dihalau
dari istana dan menjadi seorang pengail. Satu ketika seorang maulana bernama
Maulana Jalaluddin datang ke Melaka.
Peristiwa Rampas
Kuasa.
Dia telah membantu Raja Kassim dan Seri
Nara Diraja merampas kuasa dari Sultan Abu Syahid. Mereka juga dibantu
oleh Bendahara. Dalam rampasan kuasa itu Raja Rekan telah membunuh Sultan Abu
Syahid supaya mati bersama-samanya.
Raja Kassim telah ditabalkan menjadi sultan bergelar Sultan Muzaffar
Syah. Maulana Jalaluddin yang mahu mengahwini Puteri Rekan ditipu dengan
seorang dayang istana. Dayang itu disangka Puteri Rekan dan di bawa ke atas
angin.
Semasa menjadi raja, Sultan Muzaffar Syah sangat memuliakan pula Seri
Nara Diraja. Ini kerana SND itu adalah bapa saudaranya yang telah menolongnya
merampas kuasa. Bendahara Seri Wak Raja tidak begitu diendahkannya. Satu hari
Bendahara datang ke istana berkebetulan Raja sudah hendak masuk kerana dia
sudah lama di balai penghadapan. Pintu pula tertutup oleh tiupan angin.
Bendahara menyangka Sultan tidak berkenan lagi padanya dan diapun membunuh
diri. Peristiwa ini sangat dikesali oleh sultan.
Bila Bendahara Seri Wak Raja meninggal, Seri Nara Diraja pun dilantik
menjadi bendahara. Anak bendahara Seri Wak Raja ada tiga orang iaitu Tun Kudu,
Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Tun Kudu diperisterikan oleh Sultan Muzaffar
Syah. Tun Perak diangkat oleh orang Kelang sebagai penghulu.
BAB V
Bakat Kepimpinan
Tun Perak.
Raja Negeri Siam atau negeri Syahrun
Nuwi iaitu Paduka Bubunya mahukan negeri Melaka menyembah kepadanya. Sultan
Muzaffar Syah enggan menyembah. Jadi paduka Bubunya menitahkan panglimanya yang
bernama Awi Chakri menyerang Melaka. Tun Perak telah membawa tenteranya untuk
mempertahankan Melaka bersama-sama orang perempuan masing-masing. Pengikutnya
tidak puas hati dan mengadu kepada raja. Tun Perak menyatakan bahawa orangnya
akan berperang dengan lebih bersungguh-sungguh dari orang lain kerana mahu
menjaga keselamatan isteri mereka masing-masing di samping berperang untuk
raja. Sultan berpuas hati dengan jawapan tersebut dan telah melantik Tun Perak
menjadi bentara di istana. Tidak lama kemudian dilantik pula menjadi menteri
bergelar Paduka Raja.
Satu Cara
Mengelakkan Pecah Belah.
Setelah Tun Perak menjadi menteri,
orang-orang Melaka berpecah dua. Keadaan ini merunsingkan Sultan Muzaffar Syah.
Untuk merapatkan hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, Sultan telah
menceraikan Tun Kudu untuk dikahwini oleh Seri Nara Diraja. Tun Kudu ialah anak
Bendahara Seri Wak Raja iaitu kakak Paduka Raja Tun Perak. Dengan itu SND telah
melepaskan jawatan Bendahara untuk diberikan kepada PR. Tun Perak dikatakan
sama taraf dengan Patih Aria Gajah Mada di Pajapahit dan Orang Kaya Senayan di
Pasai.
Langgaran Siam
Dipatahkan.
Angkatan Siam telah datang menyerang
Melaka sekali lagi, diketuai oleh Awi Dicu. Paduka Raja diarahkan menghalang
angkatan Siam bersama Seri Bija Diraja Tun Hamzah atau Datuk Bongkok. Angkatan
mereka bertemu di Batu Pahat. Anak SBD iaitu Tun Omar disuruh menjadi suluh.
Semasa dia menyiasat kapal-kapal Siam itu dua tiga buah perahu telah
dikalahkannya.
Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja
telah menyuluh dipasangkan api pada pohon-pohon bakau, nyireh, tumu dan api-api
ditepi pantai. Angkatan Awi Dicu tersalah anggap yang angkatan Melaka terlalu
ramai. Kerana gerun merekapun cabut lari. Melihat itu angkatan Melaka telah
mengejar angkatan Siam hingga ke Singapura. Sultan Muzaffar Syah sangat
gembira.
Raja Siam iaitu Paduka Bubunya sangat
marah. Dia sendiri bercadang akan menyerang Melaka. Mendengar itu Cau Panden
anaknya menghalang dan berjanji akan menyerang Melaka. Perkhabaran Cau Panden
akan menyerang Melaka itu terdengar ke Melaka. Seorang Arab yang dikenali
sebagai Tuan Saidi Arab telah memanah Cau Panden itu dari Melaka yang
menyebabkannya terbunuh.
Pemerintahan
Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun,
Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya
Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27
tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak
gundik bernama Puteri Bakal.
Baginda memerintahkan Bendahara Paduka
raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh
Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan
Puteri Onang Sari.
Raja Indera Pura
Ditawan.
Maharaja Dewa Sura berjaya ditangkap
oleh Seri Bija Diraja dan dibawa balik ke Melaka. Atas jasanya Seri Bija Diraja
dinobatkan di Pahang oleh Sultan Mansur. Puteri Onang Sari dikahwini oleh Sultan
Mansur dan mendapat dua anak iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Hubungan Muhibbah
Melaka – Sulawesi.
Sultan Mansur Syah mahu hubungan dengan
Makasar dipereratkan. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja telah diutuskan
untuk ke sana. Mereka berjaya mengadap raja di Goa dan baginda
sangat suka hati untuk bermuafakat dengan Melaka. Apabila mereka
mahu kembali ke Melaka, raja Goa telah berusaha mendapatkan seorang budak untuk
dihadiahkan kepada Sultan Mansur
Dari Mana Hang
Tuah Berasal.
Raja di Goa telah berjaya mendapatkan
anak Raja Bajung yang bernama Daeng Mempawah untuk dihadiahkan kepada Sultan
Mansur Syah. Budak ini berumur 12 tahun dan diberikan nama Hang Tuah oleh
sultan. Dia seorang yang berani dan telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk.
Di Melaka pada masa itu terdapat 9 orang “Perhangan” iaitu Hang Jebat, Hang
Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang
Hussin.
Maharaja Dewa Sura
Dibebaskan.
Gajah Sultan Mansur Syah yang dibawa
Kemanci telah terlepas dan lari ke hutan. Panglima gajah iaitu Seri Rama telah
gagal mencarinya semula. Maharaja Dewa Sura telah dicadangkan untuk menangkap
gajah itu. Tapi baginda mensyaratkan supaya dia dibebaskan dahulu. Sultan
Mansur bersetuju dan beliau telah berjaya menangkap gajah itu semula. Sekalian
anak-anak muda di Melaka disuruh belajar ilmu gajah dengan MDS itu.
Seri Nara Diraja yang beristerikan Tun Kudu telah berjaya
mendapat 3 orang anak iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan Tun Mutahir. Bila Tun
Kudu mati, SND kahwin lain dan mendapat 2 orang lagi anak iaitu Tun Bongsu dan
Tun Sadah.
Hubungan
Berbaik-Baik Melaka-Siam.
Sultan Mansur Syah ingin hubungan dengan
Siam dipulihkan. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera telah diutuskan ke sana.
Mereka telah berjaya mengadap Paduka Bubunya dan mengangkat martabat dan
menjaga maruah raja Melaka. Sultan Mansur diberikan makna sebagai raja yang
dimenangkan akan Allah taala daripada segala seteru. Bila ditanya kenapa Melaka
tidak dapat dikalahkan oleh Siam, Tun Telanai telah menyuruh Suir, seorang tua
yang untut tetapi belakangnya tidak lut dtikam oleh lembing. Sekalian orang
Melaka dikatakan seperti Suir itu, iaitu tidak lut ditikam dengan lembing.
Paduka Bubunya telah percaya dengan tipu helah itu.
Paduka Bubunya juga telah menyuruh
angkatan Melaka membantu Siam menewaskan musuhnya dalam satu peperangan di
sana. Mereka diminta berperang dengan pasukan yang kuat. Kebetulan di arah
kiblat. Menteri Jana Putera telah mengatakan orang Islam tidak boleh berperang
mengadap kiblat kerana itu adalah arah untuk sembahyang. Tipu helah itu
dipercayai oleh Raja Siam.
Mereka disuruh berperang ke hala matahari terbit dan berjaya
dalam perang tersebut. Paduka Bubunya telah memberi hadiah kepada semua ahli
rombongan dari Melaka itu. Tun Telanai diberikan seorang puteri bernama Onang
Minaling Lang. Dari perkahwinan itu melahirkan Tun Ali Haru.
BAB VI
Malang Membawa
Tuah.
Anak raja Tanjung Pura telah hanyut ke
pantai Begawan dan diselamatkan oleh seorang penyadap. Namanya Raden Perlan Langu.
Dia diberi nama gelaran Ki Mas Jaya. Si penyadap selalu menyatakan bahawa Ki
Mas Jaya bakal berkahwin dengan Puteri Galoh Awi Kesuma, puteri Ratu Majapahit.
Ki Mas Jaya pula menyatakan akan mengangkat si Penyadap menjadi Patih Gajah
Mada.
Kebetulannya Awi Kesuma telah besar dan Patih Gajah Mada sendiri ada
mendengar bisikan dari rakyatnya yang dia sendiri akan mengahwini puteri
tersebut. Lalu Patih Gajah Mada mencadangkan supaya Awi Kesuma berkahwin. Untuk
itu segala rakyat diminta berkumpul untuk Awi Kesuma sendiri memilih bakal
suaminya.
Bakal Ratu
Majapahit.
Setelah Awi Kesuma memandang Ki Mas Jaya
iapun berkenan lalu mereka dikahwinkan. Ki Mas Jaya diangkat menjadi betara
Majapahit. Si Penyadap pula menuntut Betara Majapahit menunaikan janji untuk mengangkatnya
menjadi Patih Gajah Mada. Ki Mas jaya membuka rahsia dirinya yang dia anak raja
Tanjung Pura dan tuntutan si penyadap. Atas cadangan Patih Gajah Mada, si
penyadap telah dijadikan ketua para penyadap dan diberi gelar Patih Adi Kara.
Didudukkan sama taraf dengan PGM.
Berita tentang Ki Mas Jaya sebagai anak
raja Tanjung Pura telah kedengaran kepada ayahandanya. Utusan telah dihantar
dan mereka sangat gembira melihat Raden Perlan Langu masih hidup dan menjadi
Betara Majapahit pula. Hasil perkahwinan Ki Mas Jaya dengan Raden Awi kesuma
lahirlah Raden Galuh cendera Kirana yang amat masyhur kecantikannya itu. Telah ramai anak
raja yang datang meminang tetapi tidak diterima oleh Betara Majapahit itu.
Menjalin Muhibah
Melaka-Majapahit.
Sultan Mansur Syah juga turut jatuh
berahi pada Raden Galuh Cendera Kira itu. Satu rombongan untuk meminang ke sana
segera bertolak. Bendahara Paduka raja ditugaskan mentadbir negara. Dia ke sana
dengan diiringi oleh 40 orang “Perawangan” dan semua “Hanghang” yang sembilan
orang itu yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah beroleh
gelaran Laksamana dari Sultan yang mengenang jasanya membunuh seorang orang tua
Jawa yang mengamuk di Melaka. Hang Tuah sebelum itu telah berjaya membunuh 74
orang, orang mengamuk di Melaka.
Sultan Mansur Syah juga diiringi oleh raja-raja dari Inderagiri (Sultan
Nara Singa), Tungkal (Raja Merlang), Jambi (Adipati Sira Sela Sida), Palembang
(Demang Mangku Raja) dan dari Lingga (Maharaja Isak). Rombongan SMS telah
sampai ke Majapahit. Pada masa itu RajaTanjung Pura dan Kediri ada mengadap.
Betara Majapahit telah menganugerahkan 40 bilah keris kepada rombongan. Keris
yang diberikan kepada raja Kediri dan Tanjung Pura dapat dicuri semula. Keris
yang diberikan kepada Raja Melaka tidak dapat. Ini menunjukkan raja Melaka
lebih cerdik dari raja-raja yang lain.
Telatah
Budak-Budak Raja Melaka.
Di Majapahit, Hang Tuah telah mencabar
Tun Bijaya Sura menunjukkan kebolehannya. Tun Bijaya Sura telah menari di
hadapan Betara Majapahit. Digertaknya anjing yang ada dibalai itu, terkejut
ketakutan dan terus lari ke hutan. Dia juga bermain “Sapu-sapu rengit”. Dalam
permainan itu dia dan pembantunya dapat duduk dan melunjurkan kaki ke arah
Betara Majaphit. Kelakuannya itu dapat dikesan oleh Betara Majapahit
sebagai mahu membalas perbuatannya yang menambatkan anjing di hadapan raja
Melaka, seolah raja Melaka itu menyembah anjing tersebut.
Tun Bijaya Sura pula mencabar Hang Tuah naik menceroboh ke balai
larangan Betara Majapahit. Hang Tuah dan kawan-kawannya telah naik ke balai
tersebut lalu segera ditombak orang. Beratus tombak dilempar tetapi habis
semuanya diparang oleh Hang Tuah. Setelah diketahui oleh Betara Majapahit,
dibiarkan sahaja oleh baginda. Mata tombak yang beratus-ratus berkas itu
diberikannya pula kepada Hang Tuah.
Kehebatan Hang Tuah telah menjadikan dirinya kegilaan kepada
perempuan-perempuan di tanah Majapahit itu. Sehinggakan
terdapat pantun dibuat orang untuk menggambarkan kehebatan Hang Tuah
tersebut. Tun Bijaya Sura telah diminta oleh Betara Majapahit menunjukkan
tariannya lagi. Dia telah menarikan “berkeliling gelagat”. Dalam permainan ini
dia telah mengayunkan sapu tangan yang dipinjamnya dari Raja Melaka. Habis muka
para penjawat Majapahit itu disapunya. Mereka hendak marah tidak dapat kerana
Tun Bijaya Sura bermain itu dititahkan oleh Betara Majapahit sendiri.
Untuk memperkenakan Tun Bijaya Sura, Betara Majapahit telah memberikan
persalinan cara Jawa iaitu dengan berkeris di belakang. Disuruhnya seorang
pencuri mencuri semula keris itu dari Tun Bijaya Sura ketika beliau sedang
asyik melihat orang menyabung. Bila TBS menyedari kerisnya dicuri, dia pula
mencuri keris dalam puan Betara majapahit. BM sengaja menunjukkan keris yang
dicari dari TBS dengan berpura-pura untuk menunjukkan keelokannya. TBS pula
menunjukkan keris yang dicurinya. Jadi sedarlah BM yang kerisnya sendiri juga
telah dicuri oleh TBS. Jadi keris itu dikembalikan kepada TBS dan keris kedua
itu dihadiahkan kepada TBS juga. Setelah genap kerja berjaga-jaga selama 40 hari
40 malam, maka Sultan Mansur pun dikahwinkan dengan Raden Galoh Cendera Kirana.
Memohon Jajahan
Sebelum Kembali.
Sebelum kembali ke Melaka,
Tun Bijaya Sura disuruh Raja Melaka mintakan daerah Inderagiri. Hang Tuah
meminta daerah Siantan. Hasil perkahwinan SMS dengan RGCK, lahirlah Raden Di
Kelang. Hasil perkahwinan dengan anak Seri Nara Diraja mendapat dua anak iaitu
Raja Mahadewi dan Raja Cendana. Dari perkahwinannya dengan saudara Paduka Raja
yang bongsu, lahir pula Raja Hussein.
Hang Tuah Dihukum
Bunuh.
Satu ketika kuda Sultan Mansur Syah
jatuh ke dalam telaga tahi. Beratus-ratus orang yang melihat peristiwa itu.
Seorangpun tidak mahu turun. Lalu Hang Tuah Terjun kedalam telaga dan menambat
kuda dengan tali. Barulah kuda dapat ditarik naik ke atas.
Hang Tuah telah dituduh bermukah dengan seorang dayang istana. Sultan
telah menyuruh Seri Nara Diraja menjalankan hukum bunuh. Bagaimanapun Seri Nara
Diraja tidak menjalankan hukum itu sebaliknya Hang Tuah telah dihantarkan ke
dusunnya di hulu Melaka. Dipasungkan.
Perhubungan Dengan
Negeri China.
Raja benua China telah menghantar utusan
ke Melaka untuk menjalinkan hubungan persahabatan. Dihantarkan juga hadiah
seperti kain-kain sutera dan juga sebuah pilau yang sarat dengan jarum. Jarum
itu menunjukkan ramainya rakyat China. Sebagai balasan Tun Perpatih Putih, adik
bendahara Paduka Raja dihantar pula ke China. Dia membawa sagu rendang sarat
sekapal. Ragu rendang itu kononnya diambil sebiji seorang dari rakyat Melaka
lalu digelek-gelek. Raja China kagum dengan kebesaran negeri Melaka, lalu
berkenan untuk menjadikan raja Melaka sebagai menantunya.
Untuk
melihat Raja China, Tun Perpatih meminta dihidangkan sayur kangkung yang
dipotong panjang-panjang. Untuk makan dibimbit hujung kangkung itu ke atas.
Jadi dapatlah mereka melihat Raja China yang berada di atas kerusi dalam mulut
naga pada mungkur kacanya.
Raja China meminta Sultan
Mansur datang ke China bagi dikahwinkan dengan puterinya. TPP menyatakan Sultan
tidak dapat datang kerana ada permusuhan. Jadi baginda bersetuju supaya
puterinya itu dihantarkan ke Melaka.
Puteri Raja China
Ke Melaka.
Raja China menghantarkan puterinya
bernama Hang Liu ke Melaka. Puteri itu bersama 500 dayang dan 500 pengiring
lelaki telah diislamkan oleh Raja Melaka. Puteri itu dikahwininya. Mereka
disuruh diam di Bukit China.
Bila Laksamana Lak Di Po ingin kembali ke negeri China, Menteri Jana
Putera dan Tun Telanai pula disuruh pergi ke negeri China. Dalam perjalanan
mereka terbias ke Brunai kerana ribut. Raja Brunai juga berkirim sembah ke
Melaka.
Kedal Kerana
Tulah.
Selepas 2 hari menerima sembah raja
Melaka, raja China telah didatangi penyakit kedal anjing. Seluruh tubuhnya
telah menjadi gatal-gatal. Beratus-ratus tabib cuba mengubati tetapi gagal.
Sehinggalah seorang tabib tua mengatakan penyakit itu berpunca dari menerima
sembah raja Melaka.
Utusanpun dihantar ke Melaka memohonkan air basuh kaki dari Raja
Melaka. Bila air itu diminum dan dibuat basuh muka. Penyakit kedal
itupun hilang. Dengan sebab itu Raja China bersumpah tidak lagi mahu disembah
oleh Raja Melaka. Begitu juga dengan keturunannya takut terkena tulah.
BAB VII
Hang Jebat
Kesiangan Di Istana.
Hang Jebat telah mengamuk di dalam
istana raja. Ini menyebabkan Sultan dan permaisuri terpaksa melarikan diri.
Bila tiada seorangpun hulubalang yang dapat membunuh Hang Jebat itu, raja mula
terkenangkan Hang Tuah. Bila keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja
pun menyembah dan memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu
Hang Tuah disuruh ambilkan. Dia diampuni dan disuruh membuang arang di muka
raja.
Pertarungan Hang
Tuah – Hang Jebat.
Hang Tuah dengan segera ke istana
bertikam dengan Hang Jebat. Dua tiga kali kerisnya terlekat di dinding dan
tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat untuk dicabut semula. Sekali keris Hang Jebat
terlekat, terus dia ditikam oleh Hang Tuah. Dengan tikaman kedua, Hang Jebatpun
meninggal dunia. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut. Anak isterinya diumbut.
Rumahnya juga dibuang ke laut. Istana tempat Hang Jebat mati itu tidak lagi
mahu diduduki. Istana baru minta diperbuatkan. Istana baru sangat hebat.
Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh pintu berukir. Istana dinamakan orang
“Mahligai Hawa Nafsu”.
Pangkat laksamana dikembalikan semula kepada laksamana. Dia didudukkan
sama taraf dengan Seri Bija Diraja dan dibenarkan memikul pedang kerajaan. Seri
Bija Diraja pula diberikan daerah Sening Ujung.
Istana Sultan
Mansur Syah Terbakar.
Dengan takdir Allah taala, istana yang
baru siap itu telah terbakar. Bagaimanapun banyak harta dapat diselamatkan.
Akibat peristiwa ini, ramai pula orang-orang muda yang menerima anugerah raja
kerana menyelamatkan harta raja. Sebuah istana baru pula diminta siapkan dalam
masa sebulan. Bendahara telah membahagikan kerja-kerja membina istana ini
kepada pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu istana baru berjaya disiapkan. Bahkan lebih baik
dari istana yang terbakar itu.
Ramalan Bendahara
Paduka Raja.
Seri Nara Diraja telah jatuh sakit. Dia
memanggil Paduka Raja memintakan Paduka Raja menguruskan anak-anaknya yang
masih kecil. Lagipun mereka itu adalah anak-anak saudara Paduka Raja sendiri.
Emas sebanyak 5 buah candu peti diminta bahagi-bahagikan antara mereka.
Anak-anak SND itupun pindahlah ke rumah Paduka Raja. Pada Satu waktu subuh,
Bendahara telah melihat ada cahaya yang terpancar dari kepala Tun
Mutahir ke langit. Bendahara meramalkan bahawa Tun Mutahir akan dapat menjadi
orang besar. Bahkan lebih dari dirinya tetapi kebesaran itu tidak kekal lama.
Bila Tun Tahir dan Tun Mutahir besar, mereka telah meminta emas yang
ditinggalkan oleh ayahnya. Bendahara tidak memberinya. Sebaliknya mereka
diberikan 10 tahil emas untuk dibuat berniaga. Setelah cukup setahun, kedua
mereka itu datang untuk membayar hutang. Ini membuktikan yang mereka mampu
menguruskan harta. Lalu emas itu dan semua emas yang disimpan diberikan kepada
mereka. Tun Tahir telah dilantik menjadi Bendahari menggantikan bapanya dan
bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir dijadikan Temenggung dan bergelar Ser
Maharaja. Tun Abdullah pula diberi gelar Seri Nara Wangsa.
Akibat Tiada
Menyembah Ke Melaka.
Pemerintah Kampar yang bernama Maharaja
Jaya tidak menyembah ke Melaka. Jadi Sultan Mansurpun menitahkan satu angkatan
pergi menyerang ke Kampar dengan diketuai oleh Seri Nara Diraja. Dibantu oleh
Khoja Baba. Mereka telah berjaya mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya dan
mangkubuminya yang bernama Tun Demang telah terbunuh. Negeri Kampar diserahkan
kepada Seri Nara Diraja dan dia telah melantik seorang adipatinya ke sana.
Sesudah Kampar,
Siak Pula.
Pemerintah Negeri Siak bernama Maharaja
Parameswara juga tidak mahu menyembah ke Melaka. Sultan Mansur memerintahkan
Seri Udana untuk menyerang Siak bersama angkatannya. Mereka telah berjaya
membunh Maharaja Parameswara. Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Tun Jana
Pakibul ditawan dan di bawa balik ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan oleh
Sultan Mansur dengan puterinya yang bernama Raja Mahadewi. Dia dirajakan semula
di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Jana dilantik sebagai Mangkubuminya.
Ditolak Bumi Melaka.
Raja Muhammad yang bakal menggantikan
ayahnya Sultan Mansur telah menyebabkan Tun Besar, anak Paduka Raja meninggal
dunia. Anak-anak buah Paduka Raja mahu menderhaka untuk membalas dendam.
Bendahara menentang hasrat tersebut tetapi bersumpah tidak mahu berajakan Raja
Muhamad.
Akibatnya Sultan Mansur telah menghantar Raja Muhammad untuk beraja di
Pahang. Bergelar Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad telah berkahwin dengan
Mengindera Puteri, cucu Sultan Iskandar, Sultan Kelantan. Mendapat tiga orang
anak iaitu Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja Mahmud.
Juara Catur.
Ialah Tun Bahara, orang pasai yang
datang ke Melaka. Tiada siapa yang dapat menandinginya. Bermain tanpa berfikir,
sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit menandinginya
ialah Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.
Disuruh Merompak
Ke Ujung Tanah.
Raja di negeri Meluluki, Makasar bernama
Keraeng Majiko beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh saudara.
Anak dari puteri yang tua bernama Semerluki. Apabila dewasa, Semerluki telah
berahikan emak saudaranya yang bongsu. Ayahnya mengetahui hasrat Semerluki itu
dan menyuruhnya pergi merompak ke Ujung Tanah (wilayah Melaka) untuk
mendapatkan perempuan-perempuan yang cantik. Jadi Semerluki telah pergi merompak
ke pulau Jawa, wilayah taklukan Siam, Melaka dan juga Pasai. Di Melaka dia
ditentang oleh angkatan Laksamana Hang Tuah dan di Pasai oleh Orang Kaya
Kenayan. Jawa dan Siam berjaya dialahkannya tetapi dia gagal di Melaka dan juga
Pasai.
Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana Abu Ishak adalah seorang ulama
tasawuf di Mekah. Beliau mengarang kitab Duri’l Mazlum. Beliau telah menyuruh
anak muridnya yang bernama Maulana Abu Bakar supaya menyebarkan isi kitab itu
ke Melaka. Di Melaka, Maulana Abu Bakar dimuliakan oleh Sultan Mansur yang
turut berguru dengannya. Kadi Melaka iaitu Kadi Yusuf pada mulanya tidak mahu
berguru dengan Maulana Abu Bakar tetapi selepas dia terpandangkan maulana itu
yang dipenuhi cahaya seperti sumbu dian, maka diapun turut berguru sama. Malah
dia telah meletak jawatan kadi dan digantikan anaknya Kadi Munawar.
Orang-orang Melaka dan Pasai pada masa itu sangat minat untuk belajar
ilmu agama. Kitab Duri’l Mazlum dapat diberikan makna (terjemahan) oleh Makhdum
Patakan, orang Pasai. Sultan Mansur juga pernah bertanyakan kemusykilan agama
kepada Makhdum Mua di Pasai itu.Tentang kekal atau tidaknya penghuni Syurga dan
Neraka.
BAB VIII
Raja Cempa Dan
Zuriatnya.
Raja Campa telah memperolehi seorang
budak dari mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Dia dikahwinkan dengan Pau
Bania. Pau Gama dari keturunanannya telah datang mengadap ke Majapahit. Dia
dikahwinkan dengan Raden Galuh Ajeng. Anaknya dinamakan Raja Jakanak. Pada masa
Pau Cin memerintah telah berlaku perang antara Cempa dengan Kuci. Raja Kuci
telah merasuah Penghulu Bendahari menyebabkan Cempa dapat
dikalahkan. Dua orang anak raja Cempa iaitu Syah Indera Berma dan
Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh. Syah Indera Berma telah memeluk
agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka oleh Sultan Mansur Syah.
Gema Peristiwa
Rampas Kuasa Di Pasai.
Pemerintah Pasai bernama Sultan Zainal
Abidin. Saudaranya telah merampas kuasa. Dia lari ke Melaka. Sultan telah
menyuruh Bendahara Paduka Raja, Seri Bija Diraja dan Laksamana serta 2 laksa
tentera pergi merajakan semula Sultan Zainal Abidin. Setelah beberapa kali
perang, Sultan Zainul Abidin berjaya ditabalkan semula. Dia enggan menyembah ke
Melaka. Belumpun angkatan Melaka sampai ke Melaka , sultan itu berjaya
dikalahkan semula. Laksamana cadangkan supaya angkata berpatah balik untuk
merajakan semula Sultan Zainal abidin tetapi Bendahara enggan. Bila
kembali ke Melaka, Bendahara telah dimurkai Sultan.
Bila ditanya Sultan, Laksamana telah menyatakan keburukan Bendahara
semasa di Pasai sedangkan bila Bendahara dipanggil, dia telah memuji-muji
laksamana. Ini menyebabkan laksamana malu sendiri. Dia segera pergi ke rumah
bendahara dan menyembah, meniarap di kaki bendahara.
Wasiat Sultan
Mansur Syah.
Hasrat Sultan Mansur Syah mahu melantik
Raden Kelang, anakanda baginda dengan Raden Galuh Cendera Kirana
menggantikannya, Malangnya Raden Kelang mati terbunuh oleh orang mengamuk.
Paduka Mimat, anakanda baginda dengan Puteri Hang Liu juga sudah meninggal.
Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di Jeram, hampir Langat. Bila SMS hampir
meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad atau nama timangannya Raja Hussain
dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada Raja Hussain ;
i. Dunia
tidak kekal, setiap yang hidup akan mati.
ii. Iman
yang sempurna dan pekerti yang baik akan kekal disebut orang.
iii. Hendaklah
adil.
iv. Jangan
mengambil hak orang tanpa izin.
v. Jangan
lalai dari tugas (dihadap orang).
vi. Setiap
kesukaran atau kesakitan hendaklah ditolong.
vii. Setiap
yang teraniaya disiasat.
viii. Muafakat
dengan menteri dan orang besar.
ix. Patuh
pada wasiat supaya dapat berkat.
Pemerintahan
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah.
Sultan Alauddin beristeri dua orang.
Isteri pertama ada 2 anak iaitu Raja Menawar dan Raja Zainal. Isteri kedua ada
3 anak iaitu Raja Hitam, Raja Muhammad dan Raja Zainal.Dalam negeri banyak
berlaku kes kecurian. Bagi mengatasi masalah, baginda sendiri telah keluar
meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, penjawat sirih santap baginda.
Terjumpalah dengan 5 orang pencuri sedang mengusung peti. Diusirnya pencuri
itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan Hang Isap membunuh seorang, 2 orang lagi
berjaya melarikan diri. Setelah itu ia kembali ke istana.
Langkah Membasmi
Pencuri.
Setelah Temenggung mendengar Sultan
sendiri keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, dia mulai mengeraskan
kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan malam dibunuhnya. Membuatkan pencurian
berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina di simpang empat di tengah negeri.
Seorang penghulu ditugaskan berkawal di situ. Sesiapa yang menjumpai harta
orang hendaklah dipulangkan kalau tidak tangannya akan dikerat. Setiap barang
yang dijumpai dihantarkan ke balai.
Akibat Salam
Dibacakan Sembah.
Maharaja Diraja, raja
Haru telah mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat Maharaja Diraja
yang berkirim salam dikatakan berkirim sembah oleh khatib yang
bertugas. Bila teguran tidak diendahkan, Raja Pahlawan telah
mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan rombongannya juga
ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai.
Maharaja Diraja telah menyuruh pahlawannya yang bernama Seri Indera
mengamuk dalam jajahan Pasai. Seri Indera terlanjur hingga ke jajahan Melaka.
Sultan Alaudin telah menitahkan Paduka Tuan, Laksamana Hang Tuah dan Seri Bija
Diraja menyekat amukan Haru. Orang Haru kalah dan mengundurkan diri.
Mia Ruzul Dengan
Kambing Randuk.
Mia Ruzul adalah seorang keling yang
turut serta dalam angkatan perang Melaka. Dia telah ke darat untuk buang air
besar. Terpandangkan seekor kambing disangkanya orang tua Haru yang
mengintainya. Bila disergah kambing itu melawan, akibatnya Mia Ruzul lari
lintang pukang. Bila disiasat ternyata hanyalah seekor kambing. Semua orang
ketawa dan marahkan Miz Ruzul.
Peperangan berlaku lagi antara orang Melaka dengan orang Haru di
Pengkalan Dungun. Orang Haru telah minta diadakan perdamaian dan diterima oleh
Paduka Tuan. Tidak lama selepas kembali ke Melaka, Seri Bija Diraja telah
meninggal dunia dan dia digantikan oleh anaknya T un Kerunta. Juga bergelar
Seri Bija Diraja. Seorang lagi anaknya bergelar Tun Bija Diraja.
Ketiganya Sama
Gagah.
Raja Maluku telah lari ke Melaka bila
negerinya dikalahkan oleh Kastilan. Dia sangat pandai bermain sepak raga.
Ditimangnya 100 – 200 kali barulah diberikan kepada orang lain. Dia juga sangat
gagah, Umbi pokok kelapa diparangnya hingga putus. Begitu juga Telanai
Terengganu dan Sultan Alaudin. Telanai Terengganu melembing pokok kelapa tembus
ke sebelah. Sultan Alaudin pula gagah memanah. Telanai Terengganu
yang pergi mengadap ke Melaka tanpa memberitahu ke Pahang telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Muhammad (Pahang). Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja
pergi membunuh Telanai Terengganu. Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak
cucunya habis lari ke Melaka. Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang
tetapi atas nasihat Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.
Gema Pembunuhan
Telanai Terengganu.
Di Pahang, Hang Tuah telah menyuruh
orangnya membunuh saudara sepupu Seri Akar Diraja. Bila orang yang membunuh itu
ditangkap, Hang Tuah tidak membenarkan diambil sebarang tindakan kerana
katanya, Seri Akar Diraja juga ada salahnya dengan Sultan Melaka iaitu membunuh
Telanai Terengganu tanpa memberitahu ke Melaka. Sultan Muhammad mengatakan
Telanai Terengganu dibunuh kerana katanya Telanai Terengganu biadab dengan
mengatakan negeri Melaka itu terletak di bawah kelangkangannya.
BAB IX
Membunuh Tanpa
Memberitahu Ke Melaka.
Sultan Ibrahim telah menyuruh Tun Jana
Pakibul membunuh seorang pesalah di Siak. Hal ini diketahui ke Melaka. Hang
Tuah telah diarah untuk pergi ke Siak. Tun Jana Pakibul dimarahinya
dalam majlis Sultan Ibrahim. Sultan dan Tun Jana Pakibul terdiam. Bila Hang
Tuah mahu pulang ke Melaka, Sultan Ibrahim telah berkirim surat memohon
kemaafan dari Sultan Alaudin. Pada masa itu, tidak dibenarkan hukuman bunuh
dalam taklukan Melaka melainkan dengan pengetahuan Sultan Melaka.
Seorang anak Sultan Alaudin yang bernama Raja Menawar telah dirajakan di
Kampar. Bila Sultan Alaudin mangkat, tempatnya digantikan oleh Raja Mamad. Pada
masa itu Raja Mamad masih lagi seorang kanak-kanak. Wasiatnya supaya Raja Mamad
menggantikannya disampaikan di hadapan Bendahara Paduka Raja, Kadi, Paduka
Tuan, Seri Nara Diraja, Temenggung dan Laksamana Hang Tuah.
Pemerintahan
Sultan Mahmud Syah.
Kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin
berpesan supaya :
ð Banyak bersabar.
ð Memaafkan kesalahan
hamba sahaya.
ð Utamakan pekerjaan
akhirat dari kerja dunia.
ð Berserah diri atau
bertawakkal kepada Allah.
ð Jangan mengaibkan
pesalah, kalau perlu bunuh, boleh dibunuh.
ð Patuh pada wasiat
supaya dapat berkat Allah.
Setelah berwasiat kepada Raja Mamad,
Sultan Alaudin pun mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Mamad dengan gelaran
Sultan Mahmud Syah. Sekali peristiwa Sultan Mahmud sakit perut buang-buang air.
Terpaksalah Bendahara Paduka Raja dan Laksamana mengasuhnya. Bendahara membasuh
beras, Laksamana memasaknya. Bila masak bendahara yang menyuapkan. Bila buang
air, Laksamana membasuhnya. Nenda baginda yang bergelar Raja Tua telah datang
untuk melihat Sultan Mahmud. Dia tidak dibenarkan hampir oleh bendahara. Ini
kerana dia lebih kasihkan Raja Menawar dan dia bercadang untuk membunuh Sultan
Mahmud dengan menindihnya sambil pura-pura menangis. Rancangannya tidak
berjaya.
Bendahara Paduka
raja dengan Laksamana.
Setelah sembuh dari sakit, Sultan Mahmud
menganugerahkan Bendahara dan Laksamana akan usungan. Laksamana menggunakannya
tetapi bendahara tidak. Bila anak-anak buahnya mengomen, Bendahara mengatakan
dia tidak mahu dipandang sama taraf atau lebih mulia dari Raja. Bendahara juga
selalu memberikan apa-apa hadiah istimewa yang diterimanya kepada laksamana
seperti perahu, gajah, kuda atau alat senjata. Alasannya supaya Laksamana dapat
memanfaatkan alat-alat itu untuk negara.
Wasiat Bendahara
Paduka Raja.
Bila bendahara jatuh sakit, dia
mengumpulkan semua anak cucunya. Untuk mereka dia berwasiat. Nasihatnya kepada
Tun Mutahir, Tun Zainal Abidin, Seri Nara Diraja Tun Tahir, Tun Pauh dan juga
Tun Isap. Sultan Mahmud juga datang menziarahi Bendahara.
Setelah Bendahara Paduka Raja meninggal dunia dia digantikan oleh
saudaranya yang bernama Tun Perpatih Putih. Bergelar Bendahara Putih. Bendahara
ini sangat boros. Jikalau lilin panjang sejengkal dibuangnya kerana dianggapnya
puntung.
Nyaris Lembing
Diterbangkan Ke Dada.
Sultan Mahmud telah berlaku curang
dengan isteri Tun Biajid ketika Tun Biajid pergi ke Merba. Semasa mahu pulang
di waktu dinihari, dia terserempak dengan Tun Biajid. Tun Biajid hampir
melembing Sultan Mahmud kalaulah tidak dingatnya yang Sultan Mahmud adalah
tuannya. Isterinya itu diceraikan. Sebagai ganti, Sultan memberikannya seorang
gundik baginda yang bernama Tun Iram Sendari.
Pada satu malam, Sultan Mahmud pergi ke rumah Tun Dewi, Di sana di
dapati telahpun ada Tun Ali Sandang. Dia memberikan sirih dalam puan
kepada Tun Isap sebagai isyarat supaya Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang itu.
Peristiwa
Pembunuhan Tun Ali Sandang.
Setelah menerima sirih, Tun Isappun
pergi membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja (anak bongsu Bendahara Paduka
Raja) sangat marah, dia mahu Tun Isap dibunuh tetapi Sultan Mahmud arahkan Tun
Isap berlepas diri. Tun Isap lari membawa diri ke merata tempat termasuklah ke
Pasai, Haru dan Brunai. Akhirnya dia kembali ke Melaka. Bila pulang Sultan
menyuruhnya pergi mohon maaf dengan Seri Wak Raja tetapi Tun Isap dibunuh
sebaik dia sampai ketika Seri Wak Raja masih lagi di atas gajah.
Pada waktu terdapat 4 orang yang sangat dikasihi oleh Sultan iaitu Seri
Wak Raja sendiri, Tun Umar, Hang Isa pantas dan Hang Hussin Cengang. Baginda
berjanji akan menunaikan apa sahaja permintaan mereka. Bagaimanapun bila Seri
Wak Raja memohon jadi panglima gajah, tidak ditunaikan kerana Seri Rama masih
hidup. Tun Umar mohon jadi raja di laut itupun tidak ditunaikan kerana
Laksamana masih hidup. Permintaan Hang Isa mahukan emas dan kain baju, segera
ditunaikan. Hang Hussin pula mohonkan kerbau 15 kelamin dan hamba 50 orang.
Segera juga ditunaikan.
Telatah
orang-orang yang dikasihi raja.
Seri Wak Raja sendiri bila dipanggil
oleh raja, sengaja dia melewat-lewatkannya. Kecuali bila Tun Isap yang datang
kerana Tun Isap akan meminta pelbagai perkara sambil menantikan Seri Wak Raja
siap. Sebenarnya Seri Wak Raja adalah sangat mahir tentang gajah dan kuda.
Kerana kemahirannya itu dia berjaya mengahwini anak Kadi Menawar. Hang Isa
Pantas pula mahir dalam permainan layang-layang. Layang-layang Raja Ahmad yang
besarpun putus apabila bergesel dengan layang-layangnya. Hang Hussain pantas
pula seorang yang kuat makan.
Sultan Mahmud seorang yang cepat marah. Dia telah mengarahkan supaya
Seri Bija Diraja dibunuh kerana Seri Bija Diraja tidak datang mengadapnya pada
hari raya. Sultan Mahmud sendiri tidak dilayan oleh Maulana Yusuf kerana dia
datang untuk belajar tetapi sebagai Yang Dipertuan. Dia hanya dilayan bila
datang sebagai fakir Mahmud.
Manjong Dan
Kelantan Diserang.
Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan
untuk menyerang Manjong kerana Manjong bermusuh-musuhan dengan Beruas. Beruas
adalah jajahan Melaka. Paduka Tuan berjaya mengalahkan Manjong. Seri Maharaja
pula dititahkan menyerang Kelantan. Kelantan juga berjaya dikalahkan. 3 orang
puteri raja Kelantan ditawan dan dibawa balik ke Melaka. Puteri Onang Kinang
diperisterikan baginda.
BAB X
Tun Mutahir
Dijadikan Bendahara.
Setelah Bendahara Putih meninggal terdapat 9 orang yang layak untuk
dilantik sebagai bendahara. Bonda Sultan Mahmud adalah saudara Tun Mutahir. Dia
telah mempengaruhi Sultan Mahmud agar melantik saudaranya itu sebagai
Bendahara. Beliau bergelar Bendahara Seri Maharaja. Satu perangainya yang buruk
ialah belaiu seorang yang kuat bergaya. Dalam sehari enam tujuh pasang
persalinannya. Bagaimanapun setelah beliau menjadi Bendahara, Negeri Melaka
semakin makmur.
Titisan keturunan
Bendahara Seri Maharaja.
Anak Bendahara Seri Maharaja sangat ramai. Anaknya yang sulung ialah Tun
Hassan Temenggung. Anaknya Tun Biajid Rupat bergelar Seri Petam. Seri Nara
Diraja iaitu kakak Bendahara Seri Maharaja pula dilantik sebagai Penghulu
Bendahari. Mempunyai 5 orang anak. Tun Abdul, adik Bendahara Seri Maharaja pula
bergelar Seri Nara Wangsa.
Peristiwa Patih
Adam dengan Tun Minda.
Patih Adam adalah Pangeran Surabaya, dia telah bertamu ke rumah Seri
Nara Diraja. Tun Minda yang masih kecil dan baru tahu berlari-lari telah
berlari-lari di depan Patih Adam. Seri Nara Diraja sambil bergurau mengatakan
Tun Minda berkata mahu berlakikan Patih Adam.Setelah Tun Minda besar, Patih Adam
telah datang semula ke Melaka bersama 40 peria untuk menuntut janji Seri Nara
Diraja. Pada mulanya Seri Nara Diraja tidak bersetuju. Pateh Adam menjalankan
helah untuk menangkap Tun Minda di rumahnya. Setelah pengawal dirasuah dapatlah
dia masuk dan menangkap Tun Minda. Tun Minda diikat dan dia sendiri menindih
peha Tun Minda. Setelah semua pengikutnya mati terbunuh, Tun Minda tidak
dilepaskan. Akhirnya dapatlah dia mengahwini Tun Minda dan kembali ke Surabaya.
Meminang “Puteri
Gunung Ledang”.
Setelah Bonda Raja Ahmad meninggal, Sultan Mahmud ingin kahwin lagi.
Beliau berhajat untuk mengahwini Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang Setia
disuruh meminang. Tun Mamad penghulu orang Inderagiri juga ikut serta. Setelah
sampai separuh gunung, Laksamana dan Sang Setia disuruh berhenti.
Tun Mamat telah naik dengan 2 orang
lain. Bila sampai di had buluh perindu, beliau telah berjumpa seorang perempuan
tua dalam sebuah taman. Beliau mengaku bernama Dang raya Rani iaitu pengetua
Puteri Gunung Ledang.Tun Mamad telah menyatakan hajat Sultan Mahmod. Tidak lama
kemudian muncul seorang tua yang lain. Dia memberitahu syarat Tuan Puteri
Gunung Ledang untuk menerima pinangan Sultan Mahmud iaitu baginda dikehendaki
membina jambatan emas dan perak ke gunung Ledang dari Melaka, hati nyamuk 7
dulang, Hati kuman 7 dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan
dan darah anak raja semangkuk. Bila syarat-syarat ini dinyatakan kepada Sultan
Mahmud belaiu mengaku dapat menyediakan semua permintaan kecuali darah Raja
Ahmad yang semangkuk itu.
Tepuk Berbalas,
Alang Berjawat.
Sultan Nara Singa, raja Inderagiri dijadikan menantu Sultan Mahmud.
Setelah bernikah dia tidak dibenarkan balik ke Inderagiri. Bila dapat
kesempatan balik, Inderagiri telah diperintah oleh Maharaja Isap. Bila Sultan
Nara Singa balik, Maharaja Isap lari ke Lingga. Dijadikan menantu Raja Lingga
dan kemudian menggantikan mertuanya sebagai raja Lingga.
Semasa Maharaja Isap datang mengadap ke
Melaka, Sultan Nara Singa telah menyerang Lingga. Sebaliknya bila Sultan Nara
Singa mengadap ke Melaka, Maharaja Isap pula menyerang Inderagiri dan
lekas-lekas dia ke Melaka. Di Melaka, mereka didamaikan oleh Sultan Mahmud.
Hang Nadim
dititahkan ke Benua Keling.
Hang Nadim, menantu Laksamana Hang Tuah, telah dititahkan ke
Benua Keling untuk membeli kain batik. 40 bagai, satu bagai 40 helai, 1 helai
40 jenis bunga. Beliau pergi dengan kapal Hang Isap. Cuma 2 orang pelukis
sahaja yang mampu menyediakan corak kain yang dikehendaki oleh Hang Nadim itu.
Setelah kain batik siap, Hang Nadim segera bersiap untuk pulang.
Malangnya Hang Isap telah berkelahi
dengan seorang peniaga saiyid. Hang Isap didakwa tidak menjelaskan semua
bayarannya dan dia mengatakan kepada Saiyid itu sebagai “wali pelir”. Kerana
marah dia bersumpah bahawa Hang Isap akan karam dalam perjalanan pulang nanti.
Sumpahnya menjadi kenyataan bila kapal Hang Isap telah karam dipukul ribut.
Bagaimanapun Hang Nadim berjaya menyelamatkan diri ke Pulau Selon. Dia berjaya
pulang ke Melaka dengan membawa kain 4 helai sahaja. Sultan murka dengannya.
Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia, dikebumikan di Tanjung Keling. Dia
digantikan oleh menantunya iaitu Laksamana Khoja Hassan.
BAB XI
Seri Wak Raja Dengan Gajah Pahang.
Setelah Sultan Muhammad, raja Pahang yang pertama meninggal. Beliau
digantikan oleh anak sulungnya yang bernama Abdul Jamal. Abdul Jamal menghantar
utusan ke Melaka minta ditabalkan. Sultan Mahmud telah menghantar Seri Wak Raja
ke Pahang bagi menabalkan Abdul Jamal dengan gelaran Sultan Abdul Jamal. Di
Pahang, ilmu Seri Wak Raja dan anaknya Tun Umar mengenai gajah teruji.
Bagaimanapun mereka berjaya.
Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang.
Seri Wak raja telah pulang ke Melaka dan menceritakan tentang cantiknya
paras anak Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Benggala. Ini
membuatkan Sultan Mahmud berahikannya. Baginda bersumpah, sesiapa yang dapat
mendatangkan TunTeja akan diberikan hadiah yang besar, sekalipun dia meminta
sekerat daripada negeri Melaka. Berita ini didengar Hang Nadim. Untuk menebus
dosanya, beliau segera ke Pahang.
Tun Teja Dilarikan Ke Melaka.
Hang Nadim telah berbuat baik dengan seorang perempuan tua, tukang
pelulut dan juga dengan Nakhoda Saiyid Ahmad. Dengan bantuan mereka, Hang Nadim
berjaya melarikan Tun Teja ke Melaka.
Pertempuran Di Laut Pulau Keban.
Sebaik Sultan Abdul Jamal, mendengar tunangannya dilarikan Hang Nadim,
Dia segera mengejar. Hang Nadim diserang oleh angkatan Sultan Abdul Jamal.
Bagaimanapun dia berjaya melepaskan diri ke Melaka. Sultan Melaka sangat
gembira. Hang Nadim dihadiahkan emas dan perak yang tidak terkira. Saiyid Ahmad
dijadikan bentara. Hang Nadim sendiri dianugerahkan Puteri Cau Pauk, anak raja
Kelantan.
Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan.
Sekembalinya Sultan Abdul Jamal ke istana, dia sangat marah, dengan
menunggang gajahnya yang bernama Ai Kening dilanggarnya balairung istananya
sendiri. Kononnya begitulah dia akan melanggar istana Melaka. Khabar ini
didengar oleh Sultan Mahmud di Melaka. Disuruhnya pula curi gajah tersebut.
Laksamana Khoja Hassan telah pergi ke Pahang. Dengan tipu
helahnya, Ai Kening telah berjaya dilarikan ke Melaka.
Bersyaikh diri di Lubuk Pelang.
Sultan Abdul Jamal dengan segera memerintahkan panglima Pahang mengejar
Laksamana Khoja Hassan. Mereka diketuai oleh Seri Akar Raja. Bagaimanapun usaha
mereka gagal. Sultan Abdul Jamal telah turun takhta dan membawa diri bersyaik
di Lubuk Pelang. Anakanda baginda bergelar Sultan Mansur Syah dirajakan.
Rahsia pembunuhan
Raja Zainal.
Dia adalah saudara Sultan Mahmud sendiri. Kecantikannya tiada tara pada
waktu itu. Dia menjadi kegilaan orang-orang perempun di Melaka. Bila dia
berkuda, habislah gempar sekalian orang perempuan mahu melihatnya. Berebutan
mereka mahu memberikan hadiah kepadanya. Mendengar hal ini, Sultan Mahmud murka
dan secara senyap-senyap dia telah menyuruh Hang Berkat pergi membunuh Raja
Zainal. Hebohlah orang mengatakan Raja Zainal telah mati dibunuh oleh pencuri.
Hang Berkat dianggap saudara oleh Sultan dan dia diberikan gelar Sang Sura.
Sultan Mahmud Syah
Serba Salah.
Satu hari isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Sang Sura
mahu Sang Guna dibunuh. Akibatnya sultan serba salah kerana Sang Guna adalah
tukang keris istana yang mahir. Bagaimanapun Sang Guna telah dihukum berkurung
dalam rumah. Untuk berdiri di muka pintupun tidak dibenarkan. Tidak dibenarkan
ke mana-mana. Akhirnya Sang Guna minta dikat dan diserahkan kepada Sang Sura
supaya dibunuhnya sekali.
BAB XII
Raja Legor Gagal
Menyerang Pahang.
Raja Legor yang bernama Maharaja Dewa
Sura telah dititahkan oleh Raja Siam untuk menyerang Pahang. Berita ini
didengar ke Melaka. Setelah bermesyuarat, Sultan Mahmud telah bersetuju
menghantar tentera Melaka bagi membantu Pahang. Bendahara Seri Maharaja telah
diarahkan ke sana. Dia juga meminta Laksamana turut sama. Dengan bantuan
Melaka, Pahang tidak berjaya ditewaskan oleh Legor.
Biadap Di Hadapan
Bendahara.
Seorang pembesar bernamaTun Perpatih
Hitam, dia mempunyai seorang anak bernama Tun Hussin. Dia pernah bersumpah akan
mengamuk sekiranya bapanya dibicarakan orang. Satu kali bapanya itu dipanggil
bicara di hadapan Bendahara kerana berselisih faham dengan seorang dagang. Pada
masa perbicaraan itu berlansung, Tun Hussin telah datang. Melihat kedatangan
anaknya itu, Tun Perpatih hitam telah menguis tikar dihdapan Bendahara.
Perlakuan ini dianggap biadab oleh Laksamana dan dia segera dibunuh. Tun Hussin
yang mahu mengamuk juga dibunuh. Laksamana segera melapurkan pada Sultan dan
Sultan bersetuju dengan tindakan Laksamana itu.
Zuriat Laksamana
Hang Tuah.
Laksamana mempunyai 2 orang isteri.
Isteri pertama iaitu saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok ada 3 anak iaitu
Tun Sirah (Isteri temenggung Khoja Hussin), Tun Biajid dan Tun Daerah (isteri
Sultan Mahmud). Dengan isterinya yang kedua dari keluarga Bendahara
Paduka Raja ada 2 orang anak iaitu Sang Guna dan Tun Emas Jiwa (Isteri Hang
Nadim).
Raja Petani dan
Raja Kedah dinobatkan.
Anak raja Siam Cau Seri Bangsa telah
menyerang Kota Mahligai yang diperintah oleh Raja Sulaiman Syah. Dia berjanji
kiranya dia berjaya, dia akan memeluk agama Islam. Takdir Allah dia menang.
Diapun memeluk Islam. Mendirikan kota di Petani. Dia meminta dinobatkan oleh
Melaka. Melaka telah menobatkannya dengan gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Raja
Kedah juga telah ke Melaka untuk dinobatkan. Beliau juga dinobatkan oleh Sultan
Mahmud.
Kebesaran Melaka
Dan Kedatangan Poortugis.
Penduduk negeri Melaka semakin ramai
hingga mencapai 19 laksa ramainya. Ramai dagang yang datang termasuklah orang
Portugis dari Goa, India. Hairan orang Melaka melihat mereka dan dikatakan
sebagai Benggali Putih. Setelah kembali ke India, dia membuat laporan kepada
wizurainya di Goa iaitu Alfonso d’ Albuquerque. Dengan segera dia memerintahkan
tenteranya datang menyerang Melaka. Penduduk Melaka pada masa itu kehairanan
melihat peluru meriam. Bagaimanapun angkatan Portugis berjaya dikalahkan.
Alfonso mahu Melaka diserang lagi tetapi Kapitan Mor melarang menyerang Melaka
selagi Bendahara masih hidup. Alsonso bersumpah setelah dia turun dari menjadi wizurai
, dia akan datang menawan Melaka.
Makhdum Dipersenda
Muridnya.
Satu ketika seorang pendita dari Jeddah
telah datang ke Melaka, beliau bernama Maulana Sadar Jahan. Sultan dan pembesar
Melakapun berguru dengannya. Ketika berada di rumah Bendahara, datanglah Seri
Rama. Beliau baru kembali dari meminum arak di istana. Beliau memang seorang
yang kuat minum. Bila tiba di hadapan Makhdum, Makhdum telah memberitahunya
yang “Al-Khamru ummul al-khabaith” (Arak itu ibu segala najis). Seri Rama pula
menjawab “AL-Hamku ummul Khabaith” (Hamak itu ibu segala
najis). Maksudnya dia telah memperli Makhdum yang dikatakannya
datang ke Melaka untuk mencari harta. Marahlah Makhdum padanya.
Tun Mai Ulat Bulu juga telah mempersendakan Makhdum. Puncanya dia
dikatakan keras lidah. Sebaliknya Tun Mai Ulat Bulu telah menyuruh Makhdum
menyebutkan perkataan seperti “kunyit, nyiru dan kucing”. Makhdum gagal
menyebutnya. Tun Mai Ulat bulu mengatakan ; begitulah halnya sendiri yang gagal
untuk menyebut huruf-huruf arab.
Bertanya satu
masalah agama ke Pasai.
Orang Kaya Tun Muhammad dititahkan ke
Pasai untuk bertanyakan masalah agama tentang rezeki. Ada pendapat mengatakan
ketetapan rezeki adalah sejak azali. Ada pula mengatakannya tidak. Untuk
menjawab masalah itu, raja telah menyuruh Tun Hassan menyelesaikannya. Jawapan
itu dipersetujui oleh Tun Muhammad. Selepas itu diapun kembali ke Melaka.
BAB XIII
Tun Fatimah Anak
Bendahara Seri Maharaja.
Kecantikan Tun Fatimah diumpamakan laut
madu, bertasik susu dan berpantaikan sakar (gula). Tun Fatimah ditunangkan
dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, sepupunya. Raja Di Baruh iaitu bapa
saudara Sultan Mahmud menasihatkan supaya perkahwinan ditangguhkan kerana Tun
Fatimah itu sepatutnya ditunjukkan kepada Sultan dulu, lagipun Permaisuri Tun
Teja telah mati. Bendahara tidak endahkan nasihat itu. Pada hari perkahwinan
Sultan datang dan dia sangat tertarik dengan Tun Fatimah dan menuduh Bendahara
sebagai jahat. Sultan berdendam dengan Bendahara.
Kekayaan Bendahara
Seri Maharaja.
Bendahara sangat kaya. Mempunyai
simpanan emas sebanyak 6 bahara. Lebih satu bahara dari kepunyaan Raja
Mendaliar, Syahbandar Melaka. Anak-anak cucunya diberikan emas, jikalau hilang
diberinya yang lain. Kerbau pemeliharaannya di Kayu Ara juga banyak. Jikalau
anak buahnya pergi berburu tapi tidak dapat, maka kerbau dikandang itulah yang
disembelih mereka.
Tun Hassan
Temenggung Cuba Dibeli.
Semua orang besar-besar datang ke rumah
Ali Manu Nayan, seorang kaya di Melaka. Mereka semua diberikan hadiah. Hanya
Tun Hassan Temenggung saja yang tidak datang. Ali Manu Nayan pernah menyatakan
; Kiranya Tun Hassan berdiri sahaja di hadapan kedainya, dia akan memberikan 10
tahil emas.
Punca Mencetuskan
Sekejam-Kejam Hukuman.
Nina Dewa Sura telah bertelingkah dengan
Raja Mendaliar. Mereka pergi berhukum pada Bendahara. Kerana hari telah petang,
mereka disuruh datang keesukan harinya. Malam itu, Nina Sewa Sura telah
merasuahkan emas sebanyak sebahara kepada Bendahara supaya dia menang dalam
kesnya dengan Raja Mendaliar. Kitul, seorang yang ada berhutang dengan Raja
Mendaliar telah pergi memberitahu Raja Mendaliar tentang perihal Nina Dewa Sura
itu. Dikatakan Nina Dewa Sura merasuahkan emas 10 kati supaya Bendahara
membunuh Raja Mendaliar dan dikatakan bahawa Bendahara telah bersetuju. Segala
hutang Kitul telah dihalalkan. Pada malam itu juga, Raja Mendaliar telah pergi
mengadu kepada Laksamana Khoja Hassan. Dirasuahnya dengan emas sebahara
disamping permata dan kain baju yang indah-indah. Dikatanya Bendahara mahu
merampas takhta kerajaan. Bendahara telahpun menempah takhta kerajaan, piu dan
kaus emas. Kerana termakan pujuk, Laksamana bersedia memberitahu raja.
Tamat Riwayat Tiga
Orang Besar Negara.
Sebaik menerima aduan Laksamana, Sultan
Mahmud telah mengarahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pergi membunuh
Bendahara. Tun Hassan Temenggung ingin menentang tapi dihalang oleh Bendahara.
Tun Hassan juga mahu membuang peti-peti emasnya, itupun dihalang oleh Sutan.
Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan suami serta sepupunya
Tun Alipun dibunuh orang. Tun Abdul Karim, Tun Jenal dan Tun Fatimah tidak
dibunuh. Sebaliknya Tun Fatimah dijadikan isterinya. Bila kahwin, segala harta
Bendahara dibawa ke dalam. Raja mendapati tuduhan yang Raja mahu merampas
takhta tidak benar kerana alatan seperti takhta, piu dan kasut emas tidak ada.
Sultan jadi menyesal. Kitul telah disula dan Raja Mendaliar dibunuh. Harta
Laksamana dirampas. Dia tidak dibunuh kerana Sultan pernah bersumpah
mengharamkam darah laksamana.
Bendahara Paduka
Tuan (Bendahara Tepok).
Paduka Tuan iaitu anak Bendahara Paduka
Raja telah dilantik menjadi Bendahara. Dia sudah tua, giginya telah tanggal dan
kakipun telah tepok.Bila dinyatakan dia akan diangkat menjadi Bendahara, dia
menolak tapi dipaksakan juga oleh Sultan. Dia juga dikenali sebagai Bendahara
Lubuk Batu. Seorang yang kuat makan dan bila mahu berjalan sepasu minyak wangi
digunakannya.
Tun Biajid sasar.
Dia adalah anak Bendahara Paduka Tuan.
Sasar bahasa. Bila berjalan ke pasar, diambilnya segala barang yang
diperkanannya. Bendahara terpaksa menyuruh seseorang mengekori Tun Biajid dan
membayar harga barangan yang diambilnya. Tun Biajid telah dihadiahkan seekor
gajah oleh ayahnya. Gajah ini selalu dijual tapi ditebus semula oleh Bendahara.
Bila dilihatnya gajah itu diambilnya semula konon gajah itu adalah gajahnya.
Tun Biajid pernah ditambat dan dhantar kepada Raja untuk dibunuh kerana dia
membunuh orang tetapi tidak dilaksanakan oleh Sultan.
Zuriat bendahara
Lubuk Batu.
Anak Bendahara ramai antaranya ialah Tun
Khoja Ahmad atau gelarnya Tun Pikrama dan Tun Pauh. Anak Tun Khoja Ahmad
bernama Tun Isap Berakah, dia menjadi Datuk Bendahara Johor.
Sultan Mahmud
Membuang Kerajaan.
Sejak diperisterikan Sultan Mahmud, Tun
Fatimah tidak pernah senyum. Dia sentiasa berdukacita. Sultan Mahmud juga
sangat menyesal membunuh Bendahara Seri Maharaja. Sultan Mahmud telah turun
takhta dan diserahkan pada anaknya Sultan Ahmad Syah. Baginda membawa diri ke
Kayu Ara dengan ditemani oleh Sang Sura.
Sultan Ahmad pula tidak kasih akan orang-orang besar. Dia hanya kasih
kepada beberapa orang tertentu sahaja seperti Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat Bulu,
Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu dan Tun Ali Kenyal. Orang-orang muda tiga
empat belas orang dan hamba raja dua tiga puluh orang. Itulah sahaja
teman-temannya.
Tun Fatimah pula bila hamil dibuangkannya. Alasannya kerana pengganti
raja telah ada. Sultan Mahmud berjanji akan merajakan anaknya, barulah
kandungan itu dibelanya. Malangnya Tun Fatimah hanya mendapat anak perempuan
iaitu Raja Putih dan Raja Khatijah. Sultan Mahmud pula asyik belajar tasawuf
dengan Makhdum Sadar Jahan.
BAB XIV
Di Saat Akhir
Kesultanan Melayu Melaka.
Alfonso d’Albuquerque setelah turun
daripada wizurai Goa telah kembali ke Portugal meminta armada untuk menyerang
Melala. Dari Goa dia telah menyerang Melaka dengan 43 buah kapal. Cubaan
pertama Alfonso dapat dipatahkan oleh Sultan Ahmad. Pada waktu malam, dibacakan
Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah untuk membangkitkan semangat
perang. Dalam perang keesukan harinya, tangan sultan telah terluka.
Sultan Mahmud,
Sultan Ahmad berlepas diri.
Akhirnya Portugis berjaya menewaskan
angkatan Melaka. Sultan Ahmad, Sultan Mahmud lari meinggalkan Melaka. Pada
mulanya ke Muar dan seterusnya ke Pahang dan akhirnya ke Johor. Di Johor
berkota di Pekan Tua dan seterusnya ke Bintan. Perangai Sultan Ahmad yang tidak
menghormati pembesar menyebabkan dia akhirnya disuruh bunuh oleh Sultan Mahmud.
Ditanamkan di Bukit Batu.
Melantik
Orang-Orang Besar Kerajaan.
Sultan Ahmad digantikan dengan Sultan
Muzaffar. Sultan Muzaffar masih lagi kanak-kanak. Tun Khoja Ahmad anak
Bendahara Lubuk Batu dijadikan Bendahara bergelar Paduka Tuan. Tun Abu Ishak
dijadiikan Perdana Menteri bergelar Seri Amar Bangsa. Tun Hamzah anak Seri Nara
Diraja dijadikanBendahari.Tun Abdul Karim dan Tun Jenal juga diberikan gelar.
Bila Laksamana Khoja Hasaan mati, dia ditanamkan di Bukit Pantar dan digantikan
pula oleh Hang Nadim.
Anak Raja Bakal
Kerajaan.
Bila Tun Fatimah hamil dan melahirkan anak
lelaki, Sultan Mahmud sangat gembira. Anak itu dinamakan Raja Ali dengan
timangannya Raja Kecil Besar. Peterana dan permaidani Sultan Muzaffar diambil
untuk digunakan oleh Raja Ali. Setelah genap 40 hari, acara pertabalan
dijalankan. Raja Ali ditabalkan sebagai Sultan Alaudin Riayat Syah dan digelar
juga Sultan Muda.
Tun Ali Hati lebih
rela mati.
Semasa kematian Sultan Ahmad, semua
kawan-kawan Sultan Ahmad dikumpulkan oleh Sultan Mahmud dan mereka diminta taat
setia pada Sultan. Semua orang lain datang kecuali Tun Ali Hati. Dia tidak
datang dan minta dibunuh sahaja. Akhirnya dia dibunuh juga oleh Sultan Mahmud.
Raja Abdullah
Ditawan Peringgi.
Raja Abdullah adalah pemerintah Kampar.
Saudara Sultan Mahmud. Bila Sultan Mahmud kalah, Raja Abdullah cuba
berbaik-baik dengan Portugis dengan harapan dia akan diangkat menjadi sultan
yang baru di Melaka. Belaiu telah ditangkap, dibawa ke Melaka dan seterusnya
dibawa ke Goa.
Angkatan Peringgi
menyerang Bintan.
Sultan sangat mengharapkan Temenggung
Seri Udani turun berperang menentang Portugis. Beliau hanya turun bila Portugis
sudah di kuala, tanpa mengadap raja dahulu. Terus ke Kota Kara. Berperang
dengan Portugis di situ sehingga mati.
Pusaka Dari
Temenggung Seri Udani.
Temenggung sebenarnya berkecil hati
terhadap Sultan kerana tidak memberikannya biaya. Hartanya yang disuratkan
kepada raja hanyalah talam, periuk, belanga, bokor, pinggan, mangkuk yang telah
retak dan sumbing. Budak tiga orang iaitu Si Berkat, Si Lamat dan Si Tuakal.
Bila Sultan membaca surat Temenggung itu dia tertunduk sedih. Baginda segera
menyuruh menghantarkan satu persalinan kepada Temenggung seperti pakaian anak
raja-raja.
Membalas Kasih Raja.
Peringgi telah mengalahkan kota Kopak.
Seri Nara Diraja berjaya membawa Sultan Mahmud lari. Beliau berjumpa Seri Wak
Raja. Dia ikut sama. Diajaknya Seri Wak Raja membantu Raja dengan menyindir
untuk membalas jasa Sultan Mahmud yang telah membunuh saudara mereka berdua
(Bendahara Seri Maha Raja dan Seri Nara Diraja). Ini membuatkan Sultan
bersedih. Untuk mendapatkan makanan, Seri Wak Raja terpaksa menyamun, mencuri
nasi yang sedang ditanak oleh seorang perempuan.
Dari Bintan pindah ke Kampar.
Setelah Peringgi balik ke Melaka, Sultan
dan rombongannya pergi ke Kampar. Di sana beliau terkejut mendengar berita Raja
Abdullah yang ditangkap Portugis itu. Sultan menduduki istana Raja Abdullah.
Malangnya permaisuri telah meninggal dunia di Kampar. 40 hari Sultan tiada
nobat.
Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki.
Raja Pahang iaitu Sultan Mansur Syah
(Anak Sultan Abdul Jamal) tidak mempunyai anak lelaki. Satu ketika, Raja
Muhamad, raja Terengganu yang berasal dari anak raja Kelantan telah datang ke
Pahang. Dia didudukkan dengan dua pupu Sultan. Dapat seorang anak lelaki.
Dinamai Raja Ahmad dan dijadikan anak angkatnya. Bila sudah besar, Raja Ahmad
dikahwinkan dengan anakanda baginda Raja Puspa Dewi. Dapat seorang anak
dinamakan Raja Omar.
BAB XV
Sultan Mahmud Mangkat Di Kampar.
Sultan Mahmud semasa sakit hendak mati
telah mewasiatkan Bendahara menjaga anaknya Sultan Muda. Sultan Mahmud juga
sempat berpesan kepada Sultan Muda supaya :
ð Bersabar.
ð Jangan tinggalkan
bendahara dan menteri dalam sebarang urusan.
ð Berlaku adil terhadap
rakyat dan tentera.
ð Jangan mudah
mendengar fitnah (sembah orang). Siasat dahulu kerana rakyat sangat
mengharapkan keadilan dan kemurahan raja.
Setelah Sultan Mahmud mangkat, Sultan
Alaudin pun pindah ke Pahang semula.
Bertapak Semula Di Bumi Semenanjung.
Di Pahang, Sultan Alaudin telah
berkahwin dengan anak Sultan Mansur yang bernama Raja Kesuma Dewi. Setelah
kahwin, mereka pindah pula ke Johor. Dengan diketuai Laksamana Hang Nadim,
merekapun pindah ke Johor.
Berbuat negeri di Johor.
Sultan Alaudin memerintahkan berbuat
kota di Kuala Johor hingga ke Kuala Sungai Kerting. Laksamana Hang Nadim duduk
di Bintan. Sultan mendapat dua orang anak iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah.
Kedua-duanya belajar mengaji dengan Tun Kamal Wangsa.
Surat Meminang Dari Pahang.
Bila Sultan Pahang mengetahui Sultan
Johor telah mendapat anak perempuan, dikirimnya utusan ke Johor untuk meminang
Raja Fatimah untuk Raja Omar. Atas nasihat Bendahara, peminangan itu diterima.
Hasrat Sultan Pahang tercapai
Seri Akar Raja dan Seri Nara Wangsa
segera balik memberitahu Sultan Pahang akan kesediaan Sultan Alaudin itu.
Mereka juga melapurkan yang kawalan sentiasa dibuat oleh laksamana terhadap
Peringgi. Angkatan Peringgi sentiasa diserang. Setelah siap, Sultan Pahang berangkat
ke Johor bersama Raja Omar. Mereka diberikan sebuah istana.
Istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
Antara istiadatnya ialah :
· Menghantar sirih
dan emas belanja.
· Pekerjaan
berjaga-jaga selama 40 hari. Pelbagai permainan dimainkan.
· Kenduri kerbau,
lembu, kambing, itik, ayam disembelih.
· Raja Omar diarak
dengan gajah, lengkap dengan segala alat kebesaran kerajaan. Diiringi dengan
pelbagai alat muzik seperti gendang, serunai, nafiri, nagara dan madeli.
· Tuan Kadi
menikahkan.
· Makan
beradap-adapan.
· Jamuan untuk tamu
diawasi oleh Temenggung dan para bentara. Bendahara santap satu hidangan
seorang diri kecuali boleh ditemani oleh anak raja yang bakal menjadi raja.
Selepas Mangkat Sultan Alaudin.
Tidak lama selepas perkahwinan Raja
Omar-Raja Fatimah, dikahwinkan pula Raja Muzaffar dengan cucu Bendahara, Tun
Emas Jiwa iaitu anak Tun Hassan Temenggung. Kemudian Sultan Alaudin pun mangkat
dan disebut orang Marhum di Johor Lama. Raja Muzaffar dilantik menjadi raja
dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Ketika itu baru berusia 19
tahun. Sultan Mansur di Pahangpun mangkat dan diganti oleh Raja Ismail dan
bergelar Sultan Jamal Syah.Setelah beberapa lama di Johor Lama, Sultan Muzaffar
pindah ke Seluyud. Raja Omar pula menjadi benci pada isterinya yang dari
Pahang, iaitu emak Raja Mansor. Ditalaknya dan dihantar ke rumah Seri Nara
Diraja, sebab emak Raja Mansur adalah saudara Seri Nara Diraja.
Nikah Dalam Sunyi.
Satu hari Sultan Muzaffar pergi ke rumah
Seri Nara Diraja dan dia terpandang pada emak Si Mansur dan terus jatuh berahi.
Setelah muafakat dengan Bendahara dan Seri Nara Diraja, Sultan Muzaffarpun
nikahlah dengan bonda Sultan Mansur secara senyap-senyap. Bila Bonda Raja
Mansur hamil, Seri Nara Diraja memberitahu Raja Omar dan isterinya raja
Fatimah. Kononnya dia takut memeliharakan bonda Raja Mansur sebab hamil. Raja
Omar sendiri menganggap anak itu sebagai anaknya. Jadi raja Fatimah suruh
hantar padanya, biar dia peliharakan. Raja Fatimah sendiri juga hamil, dapat
seorang anak lelaki dinamakan Raja Abdul Jalil. 10 bulan kemudian, bonda Raja
Mansur beranak dan dinamakan Raja Abdullah. Kedua-dua bayi itu diangkat anak
oleh Sultan Muzaffar.
Wasiat Sultan Muzaffar Syah.
Bila Sultan Muzaffar Syah hendak mangkat
diwasiatkan agar Raja Abdul Jalil dijadikan sultan. Dipangku oleh Bendahara.
Ini tidak sukai oleh Raja Omar dan Raja Fatimah. Raja Abdul Jalil pula sangat
erat hubungannya dengan Raja Abdullah. Rahsia Raja Abdullah sebagai anak Sultan
Muzaffar Syah tidak diketahui sesiapa kecuali Bendahara dan Seri
Nara Diraja sahaja.
Wasiat Sultan Abdul Jalil Diketepi.
Raja Abdul Jalil setelah berusia 9 tahun
telah jatuh sakit dan meninggal dunia. Sebelum mati baginda sempat mewasiatkan
agar takhta diperturunkan kepada Raja Abdullah. Ianya dibantah oleh emaknya,
Raja Fatimah tetapi tidak diendahkan. Bila Raja Abdullah hendak dinobatkan Raja
Fatimah mengancam mahu melarikan diri. Ini menyebabkan Bendahara terpaksa
tunduk kepada permintaannya. Dia juga takut dianggap mahu berkuasa, memangku
raja. Raja Omar dinobatkan dengan gelaran Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat
Syah. Terlalu kasihkan pula pada bendahara.
Tun Seri Lanang jadi Bendahara.
Bendahara Paduka Raja gering dan
meninggal dunia. Tun Seri Lanang pula diangkat menjadi bendahara. Bergelar
Bendahara Paduka Raja juga. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil pindah pula dari
Seluyud ke Tanah Putih atau Batu Sawar. Diserang oleh Portugis tapi tidak dapat
dikalahkan. Malangnya ramai orang sakit dan mati di Tanah Putih. Pindah
pula ke hulu Sungai Damar atau makam Tauhid. 2 kali Portugis
menyerang. Negeri Makam Tauhid tidak dapat dikalahkan. Bila
Laksmaana Hang Nadim mati, dia digantikan oleh orang besar Cempa. Raja fatimah
juga mangkat dan dikebumikan di Seluyud bersama kuburan kekandanya Sultan
Muzaffar Syah. Selang setahun kemudian suaminya pula meninggal. Sultan Ala
Jalla Abdul Jalil dimakamkan di Batu. Raja Abdullah hendak dinobatkan tetapi
baginda menolak. Bagaimanapun oleh kerana Raja Mangsur cuai menjalankan tugas,
Raja Abdullah terpaksa menjalankan tugas sultan. Raja Mansur sekali lagi mahu
pindah ke Hulu Kuala Sungai Riun iaitu di Pasir Raja.
terima kasih ringkasan nota yang bagus. bermanfaat
ReplyDeletePerkongsian yang menarik dan mudah untuk difahami.
ReplyDeleteSaya jadikan rujukan ya terima kasih
ReplyDelete